|
27 Nov 2011 bersamaan 1Muharram 1433 Hijrah menandakan masuknya tahun baru dalam takwim umat Islam. Tentu azamnya juga azam baru yang membawa kepada satu penghijrahan bagi umat Islam yang mahu berfikir dan mahu berubah. Paling utama, sambutan maal hijrah di peringkat kebangsaan membawa tema-tema yang mengajak kepada perpaduan ummah. Tahun ini, tema yang diketengahkan juga tidak lari daripada membawakan tema perpaduan. "Persefahaman Asas Perpaduan Ummah" membawa makna yang sangat besar sekiranya difahami dan dijayakan bersama-sama. Agama Islam amat menitikberatkan kepada umatnya supaya hidup saling bekerjasama dan bersefahaman dalam masyarakat. Kerana itulah satu-satunya cara yang boleh memberikan kehidupan yang aman damai dan sejahtera.
Umat Islam adalah umat yang terbaik dan sentiasa berusaha menzahirkan kebaikan dan menghapuskan keburukan. Allah SWT telah menegaskan dalam kitab suci Al-Quran, surah Ali 'Imran, ayat 110 yang bermaksud: "Kamu wahai umat Muhammad adalah sebaik-baik umat yang dilahirkan bagi umat manusia kerana kamu menyuruh berbuat segala perkara yang baik dan melarang segala yang salah. Serta kamu beriman kepada Allah dengan sebenar-benarnya". Islam adalah agama rahmat kepada manusia dan alam ini. Rasulullah SAW memerintahkan untuk memudahkan dan tidak menyulitkan. Pengertian mudah di sini bererti mengikuti manhaj yang memberi keluasan dan toleransi, juga keringanan yang jauh dari tindakan yang sulit, sukar dan berat. Allah mengutus Nabi Muhammad SAW untuk membawa rahmat. Bukan sahaja kepada sukunya iaitu Quraisy, mahupun kepada bangsa Arab sahaja. Beliau diutus sebagai pembawa rahmat ke seluruh alam. Ia meliputi semua bangsa manusia termasuk tumbuh-tumbuhan, haiwan bahkan jin. Rahmat yang dibawa oleh Nabi Muhammad SAW menjangkau batasan masa. Tidak hanya sekadar untuk zamannya sahaja, bahkan mengunjur sehingga zaman berikutnya. Satu daripada bentuk rahmat yang dibawa oleh Baginda ialah mengajak manusia untuk bersatu-padu mentauhidkan Allah dan tidak berpecah-belah sesama manusia. PERPADUAN DALAM PERSPEKTIF ISLAM Secara umum, mengikut perspektif Islam, perpaduan terjalin melalui dua ikatan, iaitu perpaduan sesama anggota masyarakat, dan perpaduan antara kaum Muslimin. Perpaduan juga dapat dilihat daripada dua dimensi, iaitu, pertama: perpaduan luaran yang tergambar sebagai kerukunan muafakat, memperteguh suasana sosiopolitik negara demi kepentingan bersama. Kedua: perpaduan yang jauh lebih asasi, iaitu kesatuan dalaman setiap individu yang terzahir daripada persefahaman antara pautan kejiwaan dan kerohanian. Mengimbas kembali peristiwa hijrah Baginda Rasulullah SAW, usaha pertama baginda untuk membina masyarakat di Madinah ialah dengan mendirikan masjid sebagai asas perpaduan. Seterusnya Baginda mempersatukan dua golongan yang telah beratus-ratus tahun bermusuhan sesama sendiri iaitu golongan Aus dan Khazraj, lalu dikenali sebagai Ansar. Begitu juga dengan golongan yang datang dari Mekah yang diberi nama golongan Muhajirin. Hasilnya, terbentuklah satu masyarakat yang bersatu padu di bawah ikatan ukhuwah Islamiah bercirikan kehendak Allah dan Rasul. Firman Allah SWT dalam surah al-Anfal; Ayat 46 yang bermaksud: "Dan janganlah kamu bersengketa, maka kamu akan gagal (lemah) dan hilang kehebatan kamu". Perpaduan dalam Islam bukan sekadar hubungan baik sesama orang Islam semata-mata, malah merangkumi kaum bukan Islam. Sejarah pada zaman Rasulullah SAW mencatatkan bahawa masyarakat Yahudi dan Kristian ketika itu hidup aman dan damai di Madinatul Munawwarah kerana hak mereka tidak dicerobohi oleh umat Islam. Dalam menjalinkan hubungan baik antara masyarakat Islam dengan masyarakat bukan Islam, model negara Islam Madinah pimpinan Rasulullah SAW perlu dijadikan contoh. Pada awal hijrah, umat Islam adalah golongan minoriti berbanding penganut Kristian dan Yahudi yang mendominasi Madinah ketika itu. Namun melalui penonjolan akhlak dan moral yang terpancar dalam bentuk teori dan praktikal, ditambah dengan keadilan pemerintahan dan pengurusan Islam yang disesuaikan dengan masyarakat majmuk ketika itu, maka akhirnya tertegak sebuah negara yang kuat, aman dan damai, bersatu padu di bawah pimpinan Nabi Muhammad SAW. MASJID SEBAGAI INTITUSI SOSIAL Pendekatan itu diperkukuhkan melalui tindakan seperti pembinaan masjid sebagai institusi sosial. Masjid Nabawi dan Masjid Quba' bukan sekadar berfungsi sebagai tempat menunaikan solat semata-mata, malah menjadi model institusi terawal Islam dalam menjana perpaduan, berperanan sebagai lokasi strategik untuk Baginda menyusun dan membentuk masyarakatnya, membangunkan aqidah umat Islam, melaksanakan urusan syariah dan menjalinkan hubungan sesama rakyat melalui akhlak yang mulia. Rasulullah SAW memperteguhkan kewajipan memelihara hubungan persaudaraan serta mewujudkan persefahaman yang menjana kepada perpaduan dan kesatuan ummah. Ini terbukti apabila Baginda ditanya oleh seorang sahabat, sebagaimana yang diriwayatkan oleh Abu Ayub Al-Ansari dalam hadisnya yang bermaksud: "...Ya! Rasulullah SAW bersabda kepadaku, amal yang akan memasukkan aku ke dalam syurga. Maka sabda Rasulullah SAW: 'Engkau beribadah kepada Allah SWT dan tidak mensyirikkannya dengan sesuatu, mendirikan solat, membayar zakat dan menghubungkan persaudaraan". Persefahaman ini mampu dipatuhi oleh semua ahli masyarakat tanpa membezakan kaum, bangsa dan agama. Mereka bersama-sama berganding bahu sebagai langkah membentuk kesatuan ummah dan perpaduan kaum di Madinah pada ketika itu. Kesan keadilan pemerintahan Islam, kelompok Islam yang awalnya minoriti menjadi majoriti apabila kaum bukan Islam beramai-ramai menganuti Islam kerana tertarik hati dengan kebaikan yang ditonjolkan oleh umat Islam yang terserlah melalui akhlak dan perlakuan terpuji penganutnya. IMAN YANG DIIKAT SYARIAT Persefahaman akan mewujudkan satu fikiran yang menuju ke arah yang sama. Ini termasuklah perpaduan dalam satu ideologi atau fahaman. Begitu juga dengan perpaduan keyakinan iaitu perpaduan yang diikat oleh satu keyakinan yang benar dan mutlak yang bersifat kekal abadi. Ikatan yang diikat oleh iman yang dihayati oleh jiwa atau hati dan bukan sekadar iman secara fikiran semata-mata. Ia melibatkan iman dan keyakinan kepada Allah SWT dan kepada rukun iman yang lain yang wajib diimani secara penghayatan. Ia juga diikat oleh syariat, iaitu peraturan dan disiplin kehidupan yang disampaikan oleh Allah SWT kepada Rasul-Nya yang terkandung dalam Al-Quran dan yang termaktub dalam Sunnah Rasul. Persefahaman yang wujud akan melahirkan ikatan jiwa yang ditunjangi oleh akidah dan iman yang amat teguh kerana ikatannya berkait terus dengan Allah SWT yang bersifat kekal abadi. Konsep persefahaman ini pencetus perpaduan yang bermula tatkala tautan hati bersemi. Persefahaman mewujudkan perpaduan ummah, mengukuhkan ikatan dalam kehidupan dan menjadikan Islam teguh di mata dunia. Semoga sambutan Maal Hijrah ke 1433 ini membawa satu dimensi baru bukan sahaja dalam pemikiran umat Islam malahan seluruh masyarakat di Malaysia untuk menyedari bahawa kefahaman yang sama akan berjaya membawa kepada perpaduan.
|
Comments
RSS feed for comments to this post