Logo
PERSATUAN PENGGUNA ISLAM MALAYSIA
70X, Jalan Keramat Hujung, 54000 Kuala Lumpur
Email : salam@ppim.org.my
Hotline : +6019-359 1000
Tel : +603-4257 7222 / +603-4256 6618
IKUTI KAMI DI :
997) UTUSAN MALAYSIA 24/11/13-Pasukan khas siasat dakwaan soalan SPM bocor
26 Nov 2013

KOTA KINABALU 23
Nov. – Kementerian Pendidikan akan menubuhkan satu pasukan khas dalam masa
terdekat bagi menyiasat dakwaan Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM)
mengenai kebocoran soalan beberapa mata pelajaran dalam peperiksaan Sijil
Pelajaran Malaysia (SPM) lalu.
Ketua Pengarahnya,
Tan Sri Abdul Ghafar Mahmud yang memandang serius dakwaan itu yang turut
menjejaskan kredibiliti pihaknya, bagaimanapun berkata, secara teorinya
kebocoran itu mustahil berlaku kerana selain proses percetakannya dilakukan di
luar negara, kawalan ketat juga dilakukan semasa penghantarannya ke setiap
pusat peperiksaan.
Jelas beliau, setiap
kertas soalan SPM dicetak di Universiti Cambridge, United Kingdom berbanding
kertas soalan bagi Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) dan Penilaian
Menengah Rendah (PMR) yang dicetak di negara ini.
“Prosedur penghantaran kertas soalan tersebut juga
dikawal ketat bermula dari Universiti Cambridge hingga ke pusat peperiksaan di
negara ini dengan bantuan kawalan pihak polis,” katanya kepada pemberita
selepas sesi perjumpaan dalam Program Jurulatih Peningkatan Sekolah (SISC) dan
Program Rakan Pembimbing Sekolah (SiPatner) di sini hari ini.
Beliau diminta
mengulas dakwaan PPIM bahawa kertas soalan Matematik dan Matematik Tambahan
bagi peperiksaan SPM tahun ini bocor yang maklumatnya dikatakan diperoleh
daripada beberapa pelajar sekolah di Seksyen 5, Wangsa Maju pada 19 November
lalu selepas mengikuti seminar SPM di sebuah masjid di Setiawangsa, Kuala
Lumpur.
Tambah Abdul Ghafar,
pihaknya tidak akan sesekali menganggap laporan PPIM itu sebagai kes terpencil
tetapi sebaliknya akan menyiasat perkara tersebut dengan terperinci.
“Kalau hendak dikatakan masa pencetakan itu bocor
(mustahil) dan perkara sebegini sudah lama tidak berlaku dengan paling terakhir
adalah pada akhir tahun 1990-an, namun apabila disiasat tiada kebocoran
sebenarnya yang berlaku,” katanya.
Sementara itu,
Lembaga Peperiksaan memulakan siasatan terhadap dakwaan berlaku kebocoran
soalan SPM yang didakwa membabitkan kertas Matematik dan Matematik Tambahan.

Pihak kami telah
menerima aduan tentang dakwaan kebocoran kertas soalan Matematik dan Matematik
Tambahan SPM serta telah memulakan siasatan bagi memastikan kesahihan perkara
tersebut,” katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.