KUALA LUMPUR 24 Nov. – Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) telah menyenaraihitamkan 10 kolej swasta yang didapati terlibat dengan kes penipuan pengeluaran caruman Akaun II.
Ketua Jabatan Pengurusan Operasi Pengeluaran KWSP, Zalikar Yusoff berkata, kebanyakan kolej swasta yang berada di sekitar Lembah Klang itu telah disenaraihitamkan sejak 2014.
“KWSP masih lagi menjalankan siasatan dan kami tidak pasti sama ada jumlah tersebut akan bertambah kerana ia bergantung kepada penyiasatan tersebut.
“Bagaimanapun, kami perlukan kesedaran ahli pencarum untuk tidak terjebak dengan sindiket penipuan pengeluaran itu,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.
Akhbar semalam melaporkan, KWSP telah mengenal pasti 100 kes berhubung penipuan pengeluaran tersebut dengan 27 daripadanya sedang didakwa di mahkamah di bawah Seksyen 59 Akta KWSP 1991.
Sebelum ini, Ketua Aktivis Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM), Datuk Nadzim Johan mendedahkan kurang daripada sepuluh aduan berkenaan sindiket tersebut diterima pihak beliau dalam tempoh tiga tahun.
Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/berita/nasional/10-kolej-swasta-disenaraihitam-kwsp-1.560163#ixzz4zcaCsfcQ
© Utusan Melayu (M) Bhd