Logo
PERSATUAN PENGGUNA ISLAM MALAYSIA
70X, Jalan Keramat Hujung, 54000 Kuala Lumpur
Email : salam@ppim.org.my
Hotline : +6019-359 1000
Tel : +603-4257 7222 / +603-4256 6618
IKUTI KAMI DI :
10 PASANGAN ‘DIWARISKAN HUTANG – HARIAN METRO – 27/09/2019
27 Sep 2019

Kuala Lumpur: Menikmati gaji bulanan yang tetap, elaun, kuarters, kemudahan pinjaman dengan kadar faedah rendah, wang saguhati serta pencen sehingga akhir hayat adalah tarikan untuk seseorang mencari pasangan hidup daripada penjawat awam.

Perunding Keluarga Islam Datuk Zaidi Zain berkata, trend berkahwin semata-mata untuk mendapat kesenangan dikesan sejak beberapa tahun lalu dan ia semakin ketara sejak kebelakangan ini susulan kos sara hidup yang semakin meningkat serta corak berbelanja tanpa kawalan.

Kata beliau, pihaknya menerima beberapa aduan mengenai kesengsaraan isteri yang ditinggalkan begitu saja selepas suami membuat pinjaman pada jumlah maksimum menggunakan nama pasangan.

“Kes begini memang ada dan lebih malang ia membabitkan jumlah pinjaman yang menjadi hutang dalam jumlah banyak. Pada peringkat awal, si suami berjanji ia sebagai cara untuk menjalani hidup dengan lebih selesa.

“Tidak lama selepas itu, mula timbul bermacam masalah bila duit sudah habis digunakan dan isteri ditinggalkan begitu saja bersama hutang yang menimbun.

” Saya terima beberapa kes begini dalam tempoh tiga tahun lalu,” katanya.

Sementara itu, Ketua Aktivis Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM) Datuk Nadzim Johan berkata, pihaknya menerima 10 aduan mengenai isteri yang ditinggalkan bersama hutang pinjaman selain mengalami tekanan perasaan ekoran kegagalan rumah tangga.

Katanya, manfaat sebagai penjawat awam adalah tarikan kepada suami untuk berkahwin tanpa perlu berdepan risiko muflis kerana pinjaman itu atas nama isteri sebagai kakitangan kerajaan.

“Ada juga kes suami mengharapkan pencen isteri untuk hidup sedangkan suami tidak melakukan apa-apa pekerjaan. Setakat ini, paling ramai yang menjadi mangsa adalah ibu tunggal dan mereka hilang tempat bergantung selepas suami menghilangkan diri atau bercerai,”katanya.

Artikel oleh: Harian Metro

10 PASANGAN ‘DIWARISKAN HUTANG