KUALA LUMPUR: Kira-kira 100 pemegang akaun yang berdaftar dengan sebuah bank tempatan, semalam, meminta akaun mereka yang dibekukan bank berkenaan sejak seminggu lalu dikembalikan.
Jurucakap kumpulan itu, Mohd Aimullah Mohd Zain, 26, menyifatkan pembekuan ke atas akaun itu tidak wajar dilakukan dan menjejaskan banyak urusan kewangan harian mereka.
Beliau berkata, tindakan bank berkenaan terus membekukan akaun tanpa sebarang notis dan penjelasan munasabah tidak sepatutnya berlaku.
“Contohnya macam kes saya, pada 25 Januari lalu, berlaku pembekuan akaun dan saya tidak dapat keluarkan walaupun RM10.
“Saya menghubungi pihak bank dan mereka memaklumkan ia kesalahan mereka disebabkan masalah sistem,” katanya.
Terdahulu, beliau bersama yang lain menghantar memorandum kepada Ketua Aktivis Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM), Datuk Nadzim Johan bagi meminta badan bukan kerajaan (NGO) itu mengambil tindakan sewajarnya memandangkan masalah ini menjejaskan ramai pengguna.
Kelmarin, Bank Negara Malaysia (BNM) dalam kenyataan memaklumkan kesilapan dilakukan bank tempatan baru-baru ini, yang menyebabkan ratusan akaun dibekukan dan pemegangnya berhutang disebabkan oleh ‘jumlah berlebihan’ dikreditkan pihak bank ke dalam akaun pelanggan.
Dalam maklum balas melalui e-mel kepada portal media, bank pusat itu berkata, bank berkenaan kini cuba mendapatkan semula jumlah lebihan dikreditkan kepada pelanggan mereka.
Artikel oleh: Berita Harian
‘100 PELANGGAN BANK DESAK AKAUN MEREKA DIKEMBALIKAN’