


KUALA LUMPUR – Sebanyak 23 gabungan NGO Melayu dan Islam mewakili lebih 1,000 pertubuhan membantah keras keputusan kerajaan membenarkan pemegang Sijil Peperiksaan Bersepadu (UEC) memasuki institusi pengajian tinggi awam (IPTA).
Jurucakapnya, Mohd Zai Mustafa berkata, pengiktirafan UEC oleh Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) dan Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) disifatkan sebagai bercanggah dengan dasar pendidikan kebangsaan.
“Keputusan itu didakwa mampu menjejaskan usaha memperkukuh perpaduan nasional serta keharmonian masyarakat berbilang kaum di negara ini.
“Ia merupakan satu pengkhianatan besar kepada dasar pendidikan kebangsaan yang akhirnya boleh menggagalkan agenda perpaduan nasional dan kesejahteraan rakyat,” katanya pada sidang media, di sini hari ini.
Terdahulu, Mohd Zai selaku Pengerusi Gerakan Pembela Ummah Malaysia (UMMAH) mempengerusikan mesyuarat mengenai keputusan kerajaan berkenaan UEC bersama 23 NGO Melayu Islam.
Antaranya Ketua Aktivis Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM), Datuk Nadzim Johan; pemangku Presiden Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (Perkasa), Borhan Ahmad Zakaria dan Presiden Muslimin Malaysia (Isma), Suhaib Ar Rumy Selamat.
Hadir sama aktivis dan pendakwah bebas, Prof Dr Ridhuan Tee; aktivis Melayu, Syed Hassan Syed Ali; aktivis masyarakat, Chandrasegaran Subramaniam dan Gabungan Mahasiswa Islam SeMalaysia (Gamis); Mohammad Azamuddin Sahar.
Menurut Mohd Zai, gabungan NGO itu turut membantah sebarang usaha menyamakan sekolah persendirian Cina yang menggunakan sistem UEC dengan institusi tahfiz di negara ini.
“Sekolah tahfiz di Malaysia kebanyakannya menggunakan kurikulum kebangsaan dan para pelajarnya turut menduduki peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).
“Menyamakan UEC dengan sekolah tahfiz adalah satu kejahilan dalam sistem pendidikan negara kerana kedua-duanya mempunyai asas dan pendekatan pendidikan yang berbeza,” katanya.
Dalam pada itu, katanya, gabungan NGO Melayu-Islam itu juga merancang mengadakan satu himpunan aman berskala besar dalam masa terdekat sebagai tanda bantahan terhadap keputusan tersebut.
“Bagaimanapun, tarikh dan lokasi himpunan itu akan diumumkan kemudian selepas proses penyelarasan selesai dilakukan bersama pertubuhan yang terlibat,” katanya.
Gabungan NGO itu turut menyeru parti-parti politik Melayu supaya menyatakan pendirian tegas berhubung isu berkenaan serta bersama-sama menyertai himpunan aman yang bakal diadakan.
“Pendirian parti politik dalam isu UEC akan menjadi antara faktor penting yang dinilai oleh masyarakat Melayu menjelang Pilihan Raya Umum Ke-16 (PRU-16),” katanya.
Katanya lagi, pihaknya turut menggesa ahli akademik, pakar pendidikan, NGO bahasa dan pertubuhan masyarakat sivil tampil menyuarakan pandangan serta membantah langkah pengiktirafan UEC ke IPTA.
“Isu pengiktirafan UEC sebelum ini sering menjadi perdebatan pelbagai pihak kerana melibatkan dasar pendidikan negara, identiti nasional serta kedudukan sistem pendidikan vernakular di Malaysia,” katanya lagi. – MalaysiaGazette
Artikel oleh: Malaysia Gazette
1,000 NGO MELAYU-ISLAM BANTAH UEC KE IPTA, RANCANG HIMPUNAN MEGA