1008) RENCANA UTUSAN MALAYSIA 25/11/13-Isu ESSCOM penanda aras keselamatan negara
27 Nov 2013
DR. AHMAD ZAKI
ISMAIL
Penasihat Persatuan
Pengguna Islam Malaysia
NAMPAKNYA sekali
lagi insiden jenayah rentas sempadan yang dipercayai dilakukan oleh warga asing
menggoncang kredibiliti pihak berkuasa negara. Meskipun ia seolah-olah insiden
terpencil tetapi impaknya kali ini lebih besar kerana melibatkan warga asing
yang datang bercuti di pulau peranginan dalam negara kita.
Ada dua fakta yang
tidak dapat kita nafikan dalam kejadian tersebut. Fakta pertama, adakah
sempadan negara masih mudah dicerobohi dan kepulauan negara kita tidak dapat
dijamin kedaulatannya dengan efektif meskipun sudah dilaksanakan
langkah-langkah penambah baikan baru-baru ini.
Fakta kedua pula
adalah kemampuan pihak risikan mendapat kerjasama orang ramai terutama mereka
yang berkepentingan yang mendiami kawasan sekitar pantai perairan yang
bersempadan dengan negara jiran.
Dalam ilmu
pengurusan ada empat elemen utama digunakan untuk menterjemahkan sistem
pengoperasian dan penambah baikan sesuatu gerak kerja. Eleman ini disebut
sebagai 4M yang mengandungi Manusia (Man), Wang (Money), Mesin (Machine) dan
Pendekatan (Method).
Kita lihat bahawa
pihak berkaitan sudah menggerakkan keempat-empat elemen tersebut bagi tujuan
berkaitan. Cuma apabila kejadian begini masih berulang maka proses penilaian
semula perlu dilaksanakan secara lebih teliti. Sudah tentu ada ada kelemahan di
mana-mana yang menyebabkan kejadian yang sama terus berulang.
Faktor utama yang
perlu diberikan perhatian paling khusus adalah penglibatan manusia. Kerana
tanpa manusia segala ‘M’ yang lain tidak akan dapat berfungsi dengan sempurna.
Kerana manusia juga boleh melemahkan segala perancangan dan juga proses yang
ingin dilaksanakan.
Apakah manusia dan
jenis manusia yang bagaimanakah yang boleh diguna pakai untuk melaksanakan
gerak kerja di sana juga mesti diteliti dengan cermat dan khusus.
Kumpulan-kumpulan
manusia yang terlibat dalam penilaian teknikal membeli mesin peralatan, yang
merancang methodologi dan yang membekalkan keperluan bagi tujuan-tujuan
berkenaan malah pembuat keputusan juga adalah rangkaian-rangkaian yang akan
menentukan kejayaan program tersebut.
Perkara lain yang
juga melibatkan manusia adalah masalah kerjasama daripada operator pelancongan
di kawasan terlibat bukan sesuatu yang rahsia lagi. Sikap sombong, bongkak
malah enggan memberi laluan kepada anggota keselamatan sudah acap kali di
dengar daripada anggota pasukan berkenaan. Jauh sekali memberi keistimewaan
kepada mereka dengan sedikit rasa hormat meraikan mereka seperti selayaknya.
Bagi pihak
berkenaan, kehadiran pasukan keselamatan negara seolah-olah satu ancaman kepada
perniagaan mereka dan kehadiran mereka sememangnya tidak disenangi.
Mungkin fakta ini
tidak diberikan perhatian oleh pihak perancang strategi sewaktu melaksanakan
proses penambah baikan Kawasan Keselamatan Khas Pantai Timur Sabah (ESSCOM)
tempoh hari. Kerana itu, segala pergerakan yang berlaku di tempat-tempat
eksklusif berkenaan tidak dapat dipantau dengan cara yang lebih berkesan.
Perkara lain yang
mungkin juga terlepas pandang adalah peralatan pengintipan, pengawasan dan
pemantauan yang diguna pakai berkemungkinan tidak dinilai oleh penilai teknikal
yang berpengalaman sehingga pembelian peralatan sekadar melepas batuk di tangga
ataupun hanya daripada syarikat- syarikat tertentu yang berdaftar dengan
Kementerian Kewangan sahaja.
Sedangkan kita tahu
bahawa peralatan keselamatan perlukan ciri-ciri khusus dan tidak semestinya
dibekalkan oleh kumpulan-kumpulan tertentu sahaja. Malah sepatutnya ia tidak
dilaksanakan melalui tender terbuka dan terdedah spesifikasinya.
Kita melihat dengan
jelas kesungguhan kerajaan dalam usaha memperbaiki keadaan termasuk hebahan
media menunjukkan pembelian aset-aset keselamatan termasuk bot peronda, tempur
dan sebagainya. Tetapi apakah peralatan berkenaan sesuai dalam memberikan
perlindungan sewajarnya masih boleh dipertikaikan kerana ia tidak semestinya
merupakan pilihan terbaik.
Mungkin pengalaman
negara-negara lain dalam usaha mengawal sempadan mereka dengan cara yang lebih
berkesan boleh diguna pakai di negara kita sekiranya diberikan peluang kepada
beberapa cadangan daripada pembekal lain yang ingin memperkenalkan teknologi
terbaru yang mana mungkin lebih efektif dari segi kewangan dan juga kemampuan
teknikalnya.
Para pembekal baru
ini sepatutnya diberikan peluang sewajarnya bagi mengemukakan cadangan sebelum
sebarang keputusan dibuat.
Sebenarnya terdapat
empat kunci utama yang diberikan perhatian khusus melalui pelaksanaan ESSCOM
tempoh hari iaitu pengumpulan maklumat risikan, pengawasan pantai, pencegahan
pencerobohan, dan menangkap penceroboh yang mana perlu dilaksanakan dengan menggunakan
peralatan yang sesuai dan kos yang efektif.
Mungkin kita fikir
bahawa menggunakan bot peronda adalah jalan pintas kerana tidak melibatkan
belanja yang tinggi dan berfikir bahawa menggunakan pengawasan udara akan
menelan belanja yang lebih besar meskipun lebih berkesan. Perkara sebeginilah
kadang kala yang masih membelenggu pembuat keputusan hingga tidak mampu membuka
minda dalam menilai sesuatu keputusan.
Akhirnya, hanya
berharap kepada sekumpulan kecil pembekal yang menyembunyikan banyak fakta demi
kepentingan peribadi yang semua orang arif mengenainya.
Di negara ini
mungkin agak asing dengan penggunaan pelbagai pesawat ringan canggih yang mampu
melaksanakan pelbagai tugasan sama ada untuk tujuan riadah, pengangkutan, dan
tugas-tugas khusus seperti mencari menyelamat, penguatkuasaan dan pemantauan.
Pesawat-pesawat seperti Auto Gyro Copter dan Revo Trike adalah antaranya yang
sangat canggih, mudah dikendalikan dan kos efektif.
Peralatan
kelengkapan untuk pesawat ini pula sangat moden dan bersesuaian untuk tujuan
ESSCOM termasuk dengan peralatan Kamera Gimble yang mampu mengesan sehingga
pergerakan sekecil biawak dan lebih kecil lagi termasuk yang disorok di
tempat-tempat tersembunyi.
Dengan kos yang
kurang daripada RM1 juta peralatan-peralatan pakej yang disertakan amat hebat
sekiranya dibandingkan dengan pembelian peralatan demi kegunaan yang serupa di
ESSCOM ketika ini. Pesawat ini juga boleh membawa peralatan persenjataan dan
juga dilengkapi dengan ciri-ciri mudah dikemudi dan diselenggara serta tidak
memerlukan latihan khusus yang lama untuk melakukan operasinya.
Malah kita tidak
dapat menafikan bahawa pengawasan udara sangat efektif jika dibandingkan dengan
pengawasan laut dan darat disebabkan pandangan dari udara lebih jelas dan luas.
Malahan ia tidak tersekat dengan percikan air atau mudah dikesan oleh
penceroboh. Kerana itu, sesuatu mesti dilakukan melalui tinjauan pengawasan
udara supaya dapat memastikan perairan negara kita tidak menjadi padang
permainan musuh, penyeludup dan juga pendatang asing sewenang-wenangnya.
Insiden-insiden
mutakhir ini memberikan kesan sangat buruk terhadap imej dan kedaulatan negara
kita di mata dunia. Pada masa yang sama mewujudkan rasa tidak selamat dan marah
rakyat kita terhadap pemerintah yang difikir tidak mengambil langkah yang
sewajarnya menjamin keselamatan mereka.
Rasanya, kata-kata
sahaja tidak lagi memadai, Jaminan sahaja tidak akan dihiraukan. Apa yang
rakyat negara ini perlukan adalah tindakan dan bukti nyata bahawa kita sudah
memulihkan situasi semasa ke tahap terbaik lebih daripada yang sebelumnya.
Post Views: 125