1010) HARIAN METRO 24/11/2013 – USUS BABI JADI SARUNG SOSEJ
29 Nov 2013
Headline: Usus babi jadi sarung sosej
Publication: MA
Date of publication: Nov 24, 2013
Section heading: Main Section
Page number: 034
Byline / Author: Oleh Aniza Zainudin
“SEBELUM melakukan serbuan bersama agensi kerajaan
termasuk polis, Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS), Jabatan Kesihatan negeri,
Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP), kita
terlebih dulu membuat pemantauan awal selama seminggu,” kata Ketua
Aktivis, Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM), Datuk Nadzim Johan.
Beliau berkata demikian ketika mengulas laporan muka depan
Harian Metro bertajuk `Sosej Usus Babi’ pada 15 Mac 2005 dan `SMS Sabotaj’ (18
Mac 2005) yang menggemparkan masyarakat.
Menurutnya, PPIM menerima maklumat berkaitan sarung sosej
diperbuat daripada usus babi daripada individu yang berkhidmat dalam industri
berkenaan.
“Selepas menerima aduan, kita membuat pemerhatian awal.
Selepas yakin dengan hasil pemantauan, baru kita melakukan operasi bersama
agensi kerajaan.
“Saya turut turun padang menyertai operasi itu.
Permulaannya, pemilik kilang enggan memberi kerjasama yang baik, malah marah
dengan tindakan dilakukan.
“Perilaku pekerja kilang yang kelam-kabut menambah
keyakinan kami terhadap perkara `luar biasa’ dilakukan pihak pengilang,”
katanya ketika dihubungi.
Mengimbas kembali situasi itu, Nadzim mengakui persekitaran
kilang berkenaan terlalu kotor dan menjijikkan, tidak sesuai dengan status
sebagai tempat memproses makanan.
Menggunakan pensijilan halal palsu, pengilang berkenaan
turut membekalkan stok ke beberapa pasar raya secara meluas.
Selepas dikenakan tindakan disita selama dua minggu, kilang
berkenaan tidak lagi beroperasi hingga kini.
Akui Nadzim, pembongkaran kes itu membuka mata masyarakat,
khususnya umat Islam, namun yang menyedihkan, sensitiviti pengguna tidak
berpanjangan apabila hanya memboikot tidak sampai sebulan.
Tegasnya, pengguna dan pihak berkuasa berkaitan harus
menitikberatkan isu kepenggunaan, terutama membabitkan makanan yang menjadi
darah daging.
Selain bergantung kepada aduan masyarakat, pihak berkuasa
perlu lebih tegas melakukan pemeriksaan dan membuat penyelidikan terhadap
contoh makanan di pasaran.
Menurut Nadzim, sejurus kes berkenaan heboh diperkatakan,
PPIM tidak lagi menerima aduan berkaitan sosej usus babi, namun pengguna
digalakkan memberi maklumat jika wujud kekeliruan.
Fakta
* Kilang memproses daging sosej milik bukan Bumiputera di
Selayang dikesan menggunakan usus haiwan, disyaki babi, sebagai sarung sosej.
* Kilang terbabit turut menggunakan logo halal palsu dan
produknya diedarkan secara meluas di beberapa pusat belibelah.
* Kegiatan didedahkan Persatuan Pengguna Islam Malaysia
(PPIM) selepas mendapati kilang terbabit turut memproses produk berasaskan
babi.
* Perkara terbongkar selepas pemeriksaan lebih empat jam
oleh pegawai Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS), Jabatan Kesihatan negeri,
Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) dan PPIM
pada 14 Mac 2004.
* Tindakan tegas diambil terhadap pengilang terbabit atas
kesalahan menggunakan logo halal JAIS yang tamat tempoh pada 28 Januari 2004
Post Views: 301