1016) RAKYAT NEWS 30/11/2013 PPIM GESA KERAJAAN KAJI SEMULA KEBAJIKAN RAKYAT
02 Dec 2013
PPIM Gesa Kerajaan Kaji Semula Kebajikan Rakyat
KUALA LUMPUR 30 Nov – Persatuan Pengguna Islam Malaysia
(PPIM) menggesa pihak kerajaan agar melihat semua sudut dalam menyelesaikan
masalah rakyat memandangkan desakan hidup yang semakin melampau.
Ketua Aktivis PPIM, Datuk Nadzim Johan berkata, pihak kerajaan perlu mencari pendekatan yang
dapat menyelesaikan masalah pengguna yang berdepan dengan beban kenaikan harga
minyak, gula dan yang terbaharu kadar cukai pintu.
“Sedangkan pendapatan bulanan rakyat, masih sama dan
tidak meningkat. Ini menambahkan beban kepada rakyat Malaysia.
“Disebabkan desakan hidup yang semakin tinggi, banyak
kes jenayah berlaku seperti, rompakan, samun dan sebagainya,” katanya di
Seminar & Penerangan Rasionalisasi Subsidi dan Apa Itu GST di Kuala Lumpur
di sini hari ini.
Sementara itu, Ketua Aktivis PPIM itu turut menjelaskan
tujuan seminar ini diadakan supaya masyarakat dapat mengetahui serta memahami
kepentingan GST agar tidak keliru tentang pelaksanaannya.
Turut hadir, ahli Majis Tertinggi (MT) Umno Dato’ Sohaimi
Shahadan, bekas Ahli Dewan Undangan Negeri Teratai, Jenice Lee, Penolong Kanan
Pengarah Kastam En. Faizulnudin Hashim, Ketua Penolong Pengarah KPDNKK, Low
Swee Hon dan Muhammad Harzi Shah Pahruddin Bahagian Ekonomi dan Antarabangsa.
Terdahulu, perasmian dilakukan oleh Dato’ Sohaimi Shahadan
di Dewan Kelab Sultan Sulaiman dan dianjurkan oleh Persatuan Pengguna Islam
Malaysia (PPIM).
Sebelum ini, Menteri Wilayah Persekutuan Datuk Seri Tengku
Adnan Tengku Mansor berkata, cadangan pihak Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL)
untuk menaikkan kadar cukai pintu perlu diambil bagi membolehkan badan itu
menawarkan khidmat terbaik memandangkan sudah 21 tahun cukai tersebut tidak
dinaikkan.
Post Views: 119