1022) BERITA HARIAN 4/12/2013 – DAKWAAN KERTAS SPM BOCOR TIDAK BENAR
06 Dec 2013
KUALA LUMPUR: Polis mendapati tiada kebocoran bagi kertas
soalan dua Matematik Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) semasa peperiksaan itu
bulan lalu.
Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Mohmad Salleh berkata
pihaknya menyiasat laporan yang dibuat pada 21 November lalu dan memanggil 56
saksi untuk memberi keterangan termasuk pelajar yang menyertai satu seminar
yang didakwa membocorkan kertas soalan itu.
Siasatan polis mendapati seminar itu, yang dianjur beberapa
hari sebelum peperiksaan SPM, hanya membincangkan kertas soalan beberapa tahun
lepas serta beberapa soalan ramalan.
“Tidak timbul kertas SPM dibocorkan… seminar itu
hanya membuat soalan ramalan daripada soalan SPM tahun-tahun lepas. Laporan itu
kita sudah siasat dengan teliti,” katanya dalam sidang media di Ibu
Pejabat Polis Kontinjen Kuala Lumpur (IPKKL) di sini, hari ini.
Pada 22 Nov lepas, Persatuan Pengguna Islam Malaysia
menerima aduan daripada tiga individu yang mendakwa kertas soalan Matematik dan
Matematik Tambahan bagi peperiksaan SPM tahun ini, bocor.
Mereka mendakwa kertas itu diedar dalam satu seminar SPM
2013 yang dikelola seorang guru di Masjid Mua’adz Bin Jabal, Setiawangsa.
Sementara itu, dalam sidang media sama, Mohmad mengumumkan
kejayaan polis melumpuhkan operasi 22 premis pajak gadai tanpa lesen sekitar
ibu negara.
Beliau berkata serbuan sepasukan pegawai dan anggota polis
dari IPKKL ke premis terbabit semalam menyaksikan penahanan 21 suspek iaitu 17
lelaki dan 4 wanita yang berumur antara 20 dan 50 tahun.
Dalam serbuan itu, polis merampas barangan kemas, beberapa
utas jam tangan berjenama dan dokumen pajakan yang dianggar bernilai puluhan
ribu ringgit.
“Mana-mana pajak gadai yang hendak beroperasi secara
sah perlu mendapatkan lesen. Ia perlu bagi mengelakkan pajak gadai dijadikan
tempat menyimpan barangan curi,” katanya.
Mohmad berkata kes disiasat mengikut Seksyen 7(2) Akta
Pemegang Pajak Gadai 1972 dan Seksyen 6 Akta Peniaga Sekendhend 1946
Post Views: 135