Logo
PERSATUAN PENGGUNA ISLAM MALAYSIA
70X, Jalan Keramat Hujung, 54000 Kuala Lumpur
Email : salam@ppim.org.my
Hotline : +6019-359 1000
Tel : +603-4257 7222 / +603-4256 6618
IKUTI KAMI DI :
1037) UTUSAN MALAYSIA 19/12/2013 DESAK KAJI SEMULA KENAIKAN TOL
19 Dec 2013

KUALA LUMPUR 18 Dis. – Persatuan-persatuan pengguna hari ini
meminta kerajaan mengkaji semula kenaikan tol yang dijangka berkuat kuasa awal
tahun depan kerana rakyat terutama yang berpendapatan rendah sudah cukup
terbeban dengan kos sara hidup semasa.
Ketua Pengarah Komunikasi Gabungan Persatuan-Persatuan
Pengguna Malaysia (FOMCA), Mohd. Yusof Abdul Rahman berkata, meskipun terikat
dengan perjanjian konsesi, selaku sebuah kerajaan bertanggungjawab kepentingan
rakyat terbanyak perlu diutamakan.
Katanya, jika kerajaan boleh campur tangan untuk
menangguhkan kenaikan kadar tol yang sepatutnya berlaku pada 2011, tiada sebab
mengapa kali ini pendekatan sama tidak boleh dilaksanakan kerana adalah tidak
molek jika rakyat perlu menanggung pelbagai kenaikan.
“Selaku pemerintah, kerajaan wajar mengkaji semula
kenaikan tol ini kerana rakyat baru sahaja menerima kenaikan tarif elektrik.
Kalau tanpa kenaikan awal tahun depan tetapi syarikat konsesi masih mampu
meraih keuntungan hasil pertambahan trafik, mengapa perlu naikkan.
“Kita faham kerajaan terikat dengan perjanjian bersama
syarikat konsesi tetapi keutamaan perlu diberi kepada rakyat kerana mereka yang
perlu menanggung beban khususnya yang berulang-alik menggunakan lebuh raya
setiap hari,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini hari ini.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Abdul Wahid
Omar sebelum ini berkata, kerajaan terpaksa membelanjakan RM400 juta sebagai
pampasan kepada syarikat konsesi jika kenaikan kadar tol yang sepatutnya disemak
tiga hingga lima tahun sekali ditangguhkan sekali lagi.
Dalam pada itu, Ketua Aktivis Persatuan Pengguna Islam
Malaysia (PPIM), Datuk Nadzim Johan berkata, kajian semula secara mendalam
perlu dibuat memandangkan kenaikan serentak pelbagai perkara akan memberi kesan
gandaan kepada harga barangan dan perkhidmatan.
Justeru beliau menyarankan jika tiada cara lain untuk
membendung kenaikan tol, kerajaan boleh memikirkan cadangan meminta Kumpulan
Wang Simpanan Pekerja (KWSP) membeli syarikat konsesi lebuh raya sebagaimana
dilakukan terhadap Lebuh Raya Utara Selatan (PLUS).
“Sebagai persatuan pengguna, kita pun berasa serba
salah, kita dapat menyokong kenaikan harga gula dan menerima hakikat kenaikan
harga minyak tetapi apabila tol pun dinaikkan, kita rasa sangat susah untuk
mengelak. Kita minta tolong sangat untuk kerajaan kaji dengan teliti,”
katanya.
Nada sama turut disuarakan Presiden Persatuan Pengguna
Subang dan Shah Alam (CASSA), Datuk Dr. Jacob George kerana berdasarkan kajian,
tiada mana-mana syarikat konsesi lebuh raya yang menanggung kerugian walaupun
kadar tol tidak dinaikkan pada 2011.
Jelasnya lagi, kerajaan perlu mengambil kira hampir 70
peratus penduduk Malaysia menghadapi masalah kredit dan jika kenaikan tol tetap
dilaksanakan mulai awal tahun depan, keadaan itu hanya akan menambah beban
sedia ada.

Sementara itu, Setiausaha Agung Kesatuan Pekerja-Pekerja
Pengangkutan Semenanjung Malaysia (TWU), Tan Sri Zainal Rampak berkata, beliau
tidak nampak rasional kenaikan kadar tol tersebut perlu dilaksanakan buat masa
ini kerana lebih banyak menguntungkan syarikat konsesi.