Logo
PERSATUAN PENGGUNA ISLAM MALAYSIA
70X, Jalan Keramat Hujung, 54000 Kuala Lumpur
Email : salam@ppim.org.my
Hotline : +6019-359 1000
Tel : +603-4257 7222 / +603-4256 6618
IKUTI KAMI DI :
1042) UTUSAN MALAYSIA 21/12/2013 LANGKAH BIJAK, UTAMAKAN RAKYAT
21 Dec 2013

KUALA LUMPUR 20 Dis. – Pengurangan kadar cukai taksiran yang
diumumkan Menteri Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor
semalam dilihat sebagai satu langkah tepat dan bijak dalam memastikan rakyat
tidak terbeban dengan kadar baharu nanti.
Pengerusi Majlis Gabungan Badan Pengurusan Bersama dan
Perbadanan Pengurusan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Datuk Yusri Ahmad
berkata, rakyat tidak menentang kenaikan kadar cukai namun membantah kadar yang
melebihi daripada kemampuan.
“Rakyat gembira apabila kerajaan mendengar rintihan
yang disuarakan melalui surat bantahan yang dihantar kepada Dewan Bandaraya
Kuala Lumpur (DBKL) dan seterusnya mengurangkan kadar cukai.
“Kadar cukai yang dikurangkan juga adalah amat
berpatutan, antaranya pemilik hartanah komersial hanya perlu membayar sepuluh
peratus daripada nilai sewaan hartanah, berbanding 12 peratus sekarang dan
rumah pangsa kos rendah pula hanya perlu membayar dua peratus berbanding enam
peratus ketika ini,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini hari
ini.
Beliau berkata demikian bagi mengulas kenyataan Tengku Adnan
semalam yang mengumumkan kadar cukai taksiran yang dikenakan kepada lebih
500,000 pemegang hartanah di ibu negara sejak 21 tahun lalu akan dikurangkan.
Mengulas lanjut, Yusri berkata, bagaimana pun masih terdapat
kekeliruan mengenai kategori perumahan yang sama namun dikenakan kadar cukai
yang berbeza.
“Contohnya di Flat Sri Langkawi 2 dengan Gombak Fasa 2
di mana masing-masing kadar cukai yang dikenakan adalah berbeza. DBKL perlu
kaji dan selaraskan dahulu kadar ini sebelum melaksanakan cukai baharu
tersebut,” ujarnya.
Sementara itu, Ketua Aktivis Persatuan Pengguna Islam
Malaysia (PPIM), Datuk Nadzim Johan berkata, biarpun langkah kerajaan
mengurangkan kadar cukai adalah bagus namun jika ditangguhkan hingga ke 2015
adalah lebih baik.
“Ini kerana rakyat telah pun tertekan dengan pelbagai
kenaikan yang berlaku secara serentak, oleh itu penangguhan pelaksanaan kadar
cukai yang baharu mampu memberi ‘nafas’ kepada mereka.
“Saya minta kerajaan merancang terlebih dahulu sebelum
melaksanakan sesuatu kenaikan agar tidak memberi gambaran buruk kepada kerajaan
nanti,” katanya.
Tambahnya, dengan kenaikan cukai, harga barang, dan
sebagainya dikhuatiri akan menyebabkan sesetengah golongan mengambil kesempatan
di atas kenaikan tersebut.

“Contohnya peniaga yang sesuka hati menaikkan harga
barang, kerajaan perlu pantau perkara ini terlebih dahulu dan pastikan ia tidak
berleluasa,” katanya.