1047) HARIAN METRO 24/12/2013 BENIH IKAN RM1 JUTA
24 Dec 2013
Headline: BENIH IKAN RM1 JUTA
Publication: HM
Date of publication: Dec 24, 2013
Section heading: Main Section
Page number: 004
Byline / Author: Oleh Yusmizal Dolah Aling
Kuala Lumpur: “Bantulah saya. Saya ada sebidang tanah
bersama rumah, dua rumah teres dan sebuah kereta untuk dicagar. Dengan adanya
modal cagaran nanti, boleh saya mulakan kembali perniagaan serta bina kehidupan
semula sementara menunggu wang semula,” kata Mohd Shukri Mohsin Fadzli,
32, mangsa penipuan pelaburan ikan arowana berjumlah hampir RM1 juta.
Anak kepada seorang bekas wakil rakyat itu kini ke hulu ke
hilir membawa bersama dokumen berkenaan bagi mencari mereka yang berpotensi
memberikan sejumlah besar wang untuk dia membayar hutang selain meneruskan
perniagaan lain yang tergendala sejak 2010.
Dia kini hidup dalam keadaan tertekan selepas menghabiskan
semua wang yang ada termasuk simpanan ibu bapanya.
Menurutnya, episod hitam itu bermula apabila dia tertarik
dengan satu skim pelaburan ikan arowana di Hulu Langat, tiga tahun lalu.
Katanya, selepas diperkenalkan rakan, dia dibawa berjumpa
seorang lelaki yang mengusahakan perniagaan menjual benih ikan arowana dan
bersetuju menyerahkan wang pelaburan RM370,000 sebagai permulaan.
“Waktu itu, saya dijanjikan pulangan keuntungan
berjumlah RM210,000 setahun. Melihat kepada rekod lampau, lelaki itu meyakinkan
saya dia adalah usahawan tulen yang berkecimpung dalam perniagaan itu sejak 18
tahun lalu.
“Tidak lama kemudian, dia meminta lagi RM100,000 dengan
alasan perlu mendapatkan lagi benih ikan berkenaan yang didakwa mendapat
permintaan tinggi di pasaran.
“Selepas itu dalam tempoh yang singkat dia bayar
kembali wang pinjaman menyebabkan saya yakin dengan usaha sama itu,”
katanya ketika membuat aduan kepada Ketua Unit Tindakan Khas Persatuan Pengguna
Islam Malaysia (PPIM), Saharudin Bakar.
Mohd Shukri berkata, tidak lama kemudian, rakan kongsinya
itu meminta dia memberikan wang berjumlah RM250,000 dengan alasan perlu membeli
benih terbaik dari negara jiran dan selepas itu mereka terus terputus hubungan.
“Dia hanya memberikan pelbagai alasan termasuk belum
mendapat bayaran daripada benih ikan yang dijual dan ada ketika, saya telefon
dia berkali-kali tak berjawab. Dalam tempoh itu dia terus meminta wang antara
RM40,000 dan RM270,000. Bimbangkan proses berniaga tersangkut di tengah jalan,
saya beri jumlah yang diminta, malangnya dia terus lesap.
“Saya terpaksa jual semua harta saya termasuk jam
tangan, kereta, traktor, lori dan aksesori lain menerusi laman web untuk
membiayai kehidupan kami sekeluarga. Mujur bapa banyak membantu. Dia berikan
kebenaran untuk saya cagar harta yang ada untuk dapatkan modal semula dengan
anggaran berjumlah RM800,000.
“Kehidupan sebagai ahli perniagaan dulu sudah berubah.
Saya terima nasib ini seadanya, ke mana saya pergi, saya bawa bersama dokumen
ini kerana ini saja yang tinggal,” katanya yang membuat laporan di Balai
Polis Kajang berhubung kes itu.
Menurutnya, harga sebidang tanah berserta rumah di Kajang
dinilai pada harga RM450,000 manakala dua rumah teres di Ipoh berharga
RM100,000 setiap seunit selain sebuah kenderaan pelbagai guna bernilai lebih
RM70,000 yang dianggap sebagai ‘penyambung’ hidup selepas dihimpit masalah berkenaan.
Dalam pertemuan itu, Mohd Shukri menghubungi lelaki itu,
bagaimanapun dia memutuskan talian sebaik mendengar suaranya.
Dalam pada itu, Ketua Aktivis PPIM Datuk Nadzim Johan
berkata, pihaknya akan membawa perkara itu kepada Ketua Polis Negara Tan Sri
Khalid Abu Bakar dalam masa terdekat bagi membantu mangsa.
Post Views: 142