Logo
PERSATUAN PENGGUNA ISLAM MALAYSIA
70X, Jalan Keramat Hujung, 54000 Kuala Lumpur
Email : salam@ppim.org.my
Hotline : +6019-359 1000
Tel : +603-4257 7222 / +603-4256 6618
IKUTI KAMI DI :
1048) HARIAN METRO 24/12/2013 BEBAS STATUS MUFLIS
24 Dec 2013

Headline: Bebas status muflis
Publication: HM
Date of publication: Dec 24, 2013
Section heading: Main Section
Page number: 041
Byline / Author: Oleh Yusmizal Dolah Aling
Kuala Lumpur: “Saya masih lagi dalam keadaan terkejut,
tak tahu nak cakap apa. Tapi rasa macam dapat kehidupan semula. Kes ini
membuatkan saya rasa putus asa, namun atas nasihat banyak pihak termasuk
Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM), akhirnya saya bebas,” Raziah
Hussein, 56, yang dibebaskan daripada status muflis akibat menanggung hutang
lebih RM80 juta yang dibuat majikannya sejak lebih 27 tahun lalu.
Menurutnya, tiada apa yang lebih indah ketika ini selepas
surat penjelasan status kebangkrapan diterima daripada Jabatan Insolvensi
Malaysia (MdI) pertengahan bulan lalu, sekali gus impiannya mengecapi hidup
tanpa bayangan hutang orang lain tercapai.
Hidupnya menjadi tidak menentu selepas diisytiharkan muflis
gara-gara membenarkan namanya disenaraikan dalam salah satu syarikat milik
majikan sejak 1986, yang kemudian membuat pelbagai jenis pinjaman tanpa
pengetahuannya.
Menurutnya, perkara itu disedari selepas dia berhenti kerja
bagi mengikut suaminya bertugas di China pada 2003 dan terkejut apabila
dimaklumkan mengenai satu saman atas namanya kerana gagal membayar pinjaman
sebuah institusi kewangan berjumlah RM80 juta.
“Seorang rakan yang bersimpati dengan nasib saya
meminta saya berjumpa Ketua Aktivis PPIM Datuk Nadzim Johan yang kemudian
memanjangkan perkara itu kepada pihak berwajib.
“Saya ingin mengucapkan terima kasih kepada semua pihak
yang membantu memberikan kehidupan semula kepada saya. Semoga ia menjadi
iktibar kepada orang lain supaya tidak mudah mempercayai siapa saja termasuk
majikan sendiri,” katanya ketika ditemui semalam.
Kisah Raziah yang terpaksa menanggung hutang berjumlah lebih
RM80 juta disiarkan di akhbar ini pada 31 Januari lalu selepas mengadakan
pertemuan dengan Nadzim yang kemudiannya berbincang dengan beberapa pihak bagi
membantunya.
Hasilnya, satu perbincangan bersama Pengerusi SukaGuam Datuk
Khairul Anwar Rahmat diadakan pada 21 Februari dan kedua-dua pihak komited
untuk membantu Raziah menyelesaikan masalah berkenaan dengan satu pertemuan
bersama Menteri di Jabatan Perdana Menteri waktu itu Datuk Seri Mohamed Nazri
Aziz.
Kemudian, Pengerusi Sekretariat Bebas Muflis Datuk Sohaimi
Shahadan dalam pertemuan dengan pihak MdI membawa perkara itu untuk
dipertimbangkan memandangkan dalam kes terbabit, nama Raziah digunakan tanpa
pengetahuannya.
Sementara itu, Nadzim berkata, pihaknya akan terus
mengadakan siri penerangan bersama Sekretariat Bebas Muflis dari semasa ke
semasa bagi membantu individu berkemungkinan diisytihar bankrap mengetahui
tindakan yang perlu dibuat.

“Ini kes pertama membabitkan jumlah yang besar. Ia
permulaan yang baik untuk ratusan ribu kes lain selepas ini,” katanya.