1079) BERITA HARIAN 31/12/2013 – 11 LANGKAH JIMAT BELANJA SEKTOR AWAM DILIHAT POSITIF
04 Jan 2014
Headline: 11 langkah jimat belanja sektor awam dilihat
positif
Publication: BH
Date of publication: Dec 31, 2013
Section heading: Main Section
Page number: 007
Kuala Lumpur: Keputusan kerajaan melaksanakan 11 langkah
mengurangkan perbelanjaan sektor awam bermula esok dilihat sebagai positif
untuk mewujudkan budaya berjimat cermat.
Timbalan Presiden Gabungan Persatuan Pengguna Malaysia
(FOMCA), Muhammad Sha’ani Abdullah, bagaimanapun berkata, bagi memastikan ia
direalisasikan dengan sempurna, komitmen tinggi semua pihak diperlukan dan
bukan hanya sekadar ‘tindakan buat syarat’.
“Ia satu permulaan yang baik, tetapi semua penjimatan
perlu diletakkan satu amalan standard semua pihak, bukan hanya kakitangan dan
pemimpin tetapi perbelanjaan keseluruhan kerajaan. Jangan biarkan ia hanya
tertulis atas kertas. Pastikan ia dilaksanakan dengan sempurna,” katanya.
Penjimatan serius
Ketua Aktivis Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM),
Datuk Nadzim Johan, pula meminta kerajaan melaksanakan lebih banyak lagi
perkara sebagai langkah penjimatan yang serius.
“Memang sepatutnya ia dilakukan sejak lama dulu. Jika
lebih banyak perkara dilakukan, rakyat akan terus dan sentiasa percaya dengan
komitmen kerajaan untuk melaksanakan penjimatan.
“Ia adalah langkah paling berkesan supaya kerajaan
dapat menjadi teladan dan ikutan dalam usaha penjimatan perbelanjaan yang akan
dipulangkan kembali kepada rakyat dalam bentuk pembangunan,” katanya.
Post Views: 186