Logo
PERSATUAN PENGGUNA ISLAM MALAYSIA
70X, Jalan Keramat Hujung, 54000 Kuala Lumpur
Email : salam@ppim.org.my
Hotline : +6019-359 1000
Tel : +603-4257 7222 / +603-4256 6618
IKUTI KAMI DI :
1083) HARIAN METRO 6/1/2014 TAWAR KERJA SERTA-MERTA
06 Jan 2014

Headline: Tawar kerja serta-merta
Publication: HM
Date of publication: Jan 6, 2014
Section heading: Main Section
Page number: 015
Byline / Author: Oleh Syah Rul Aswari Abdullah
Kuala Lumpur: “Pintu kami sentiasa terbuka untuk
Kamalru Azman Daud. Saya percaya setiap insan termasuk golongan orang kelainan
upaya (OKU) mempunyai keistimewaan yang dapat digunakan bagi membantu
masyarakat.
“Sila hadir ke pejabat dan kami akan mengambilnya
bekerja serta-merta,” kata Ketua Aktivis Persatuan Pengguna Islam Malaysia
(PPIM) Datuk Nadzim Johan ketika diminta mengulas laporan mengenai Kamalru, 26,
OKU yang masih gagal mendapat pekerjaan meskipun memiliki ijazah kelas pertama
dalam bidang Teknologi Sains Perubatan dari Universiti Teknologi MARA (UiTM)
Puncak Alam.
Menurutnya, pelajar cemerlang itu dapat memanfaatkan
pengetahuannya membantu PPIM mengumpul maklumat berhubung dengan penggunaan
herba tempatan dalam bidang perubatan tradisional.
Pada masa sama, katanya, lelaki itu dapat membantu PPIM
menyelesaikan masalah pengguna sekali gus memberikan pelajar cemerlang itu
pengalaman kerja yang jarang diperoleh di tempat lain.
“Sebelum ini pun, PPIM bukan saja membantu
menyelesaikan masalah pengguna, malah ada antara pengadu yang diambil bekerja
dengan persatuan.
“Secara peribadi, saya melihat pekerja dalam kalangan
OKU memiliki lebih banyak keistimewaan. Mereka sebenarnya tidak banyak
ragam,” katanya kepada Harian Metro, semalam.
Nadzim berkata, pihaknya bersedia membantu Kamalru
mendapatkan pekerjaan sesuai dengan mengadakan pertemuan dengan agensi
berkaitan dalam sektor kerajaan dan swasta.
“Saya sentiasa mengalu-alukan kedatangan Kamalru untuk
bekerja dengan PPIM. Kami berfikiran terbuka sekiranya dia mahu meninggalkan
PPIM selepas mendapat tawaran kerja lebih menarik,” katanya.
Dalam pada itu, beliau meminta masyarakat lebih bersikap
terbuka terhadap OKU khususnya bagi memastikan golongan berkenaan mendapat
peluang sama rata dalam pasaran tenaga kerja di negara ini.
“Jangan kita hanya pentingkan pencapaian sendiri saja,
sebaliknya fikirkan sumbangan kita terhadap masyarakat. Jangan kita fikir keuntungan
saja tanpa memikirkan golongan seperti Kamalru yang tidak mendapat pembelaan
sewajarnya,” katanya.
Muka depan Metro Ahad semalam melaporkan Kamalru yang cacat
tangan kiri dan kudung kaki kiri masih gagal mendapat kerja meskipun mendapat
purata nilai gred (GPA) 4 untuk semester akhir iaitu praktikal dan tesis sekali
gus menamatkan pengajian tahun lalu dengan purata nilai gred terkumpul (CGPA)
3.57.
Sepanjang tempoh pengajian, anak kelahiran Kelantan itu juga
pernah menerima tiga Anugerah Dekan berikutan kecemerlangan akademik walaupun
terpaksa berulang-alik ke kuliah menggunakan kaki palsu.
Lelaki yang mempunyai 11 adik-beradik itu berkata, dia amat
memerlukan pekerjaan untuk membantu keluarga memandangkan ibunya yang berusia
62 hanya bekerja sebagai tukang urut dan bidan selepas bapanya meninggal dunia
pada 1999.

Kamalru berkata, dia sudah menghadiri hampir 10 temu duga
sejak menamatkan pengajian peringkat ijazah. Sebelum ini, dia juga pernah
menghadiri 15 kali temu duga selepas menamatkan pengajian dalam bidang Mikro
Biologi Sains Gunaan di UiTM Puncak Alam.