1090) BERNAMA 8/1/2014 Wujudkan Dialog Bersama Rakyat, Perjelaskan Isu Semasa
09 Jan 2014
KUALA LUMPUR, (Bernama) — Kerajaan perlu mengadakan lebih
banyak dialog atau forum bersama rakyat bagi memperjelaskan isu-isu semasa
khususnya yang berkaitan dengan peningkatan kos sara hidup, demikian menurut
penganalisis politik.
Mutakhir ini, isu kenaikan harga barang dan perkhidmatan
termasuk minyak, gula dan tarif elektrik hangat diperkatakan berikutan usaha
rasionalisasi subsidi oleh kerajaan.
Langkah kerajaan itu menimbulkan pelbagai reaksi termasuk
perhimpunan untuk membantah dan dengan itu ia perlu diperjelaskan segera.
Timbalan Dekan Pusat Pengajian Sains Kemasyarakatan, Universiti
Sains Malaysia (USM) Prof Madya Dr Sivamurugan Pandian berkata perkongsian
maklumat dan pendapat antara kerajaan dan masyarakat penting kerana interaksi
sedemikian dapat membantu memudahkan sesuatu dasar dilaksanakan.
Persoalannya, bagaimana kerajaan dapat menerangkan kewajaran
pelaksanaan dasar-dasar ini?
Mengulas perkara itu, Sivamurugan berkata rakyat mesti
diberi peluang untuk memahami intipati dan tujuan sesuatu dasar terlebih dahulu
sebelum ianya dilaksanakan.
Penjelasan dan penyebaran maklumat mengenai sesuatu dasar
secara berkesan boleh mengelakkan kekeliruan atau meredakan kekhuatiran di
kalangan masyarakat.
Beliau memberi contoh pelaksanaan Cukai Barangan dan
Perkhidmatan (GST) dengan kadar enam peratus pada April 2015 itu yang diumumkan
Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak semasa membentangkan Bajet 2014 di
mana rakyat perlu diperjelaskan mengenainya.
“Tahun 2013 kita beri tumpuan kepada Pilihan Raya Umum
ke-13 (PRU13), maka untuk tahun ini rakyat ingin melihat apa sahaja aku janji
atau manifesto yang dibuat semasa PRU13 ditunaikan kepada rakyat,” katanya
kepada Bernama.
Beliau berkata komunikasi berkesan berhubung sesuatu isu
boleh membantu rakyat memahami dengan lebih jelas akan kewajaran tindakan
kerajaan, sekaligus menjadi benteng kepada rakyat daripada terpengaruh dengan
dakyah pihak yang mengambil kesempatan untuk menangguk dalam air keruh.
Realitinya, pengurangan subsidi menyebabkan harga barangan
berkenaan membayangkan harga pasaran semasa dan persekitaran ekonomi sebenar.
Bagi mengurangkan perbelanjaan sektor awam, Perdana Menteri
Datuk Seri Najib Tun Razak pada 30 Dis lepas mengumumkan 11 langkah termasuk
mengurangkan elaun keraian menteri dan timbalan menteri sebanyak 10 peratus,
berkuatkuasa 1 Jan.
Kerajaan juga mengurangkan elaun keraian sebanyak lima
hingga 10 peratus bagi pegawai kanan kerajaan Gred Jawatan Utama Sektor Awam C
(Jusa C) ke atas.
Sivamurugan berkata langkah kerajaan mengurangkan
perbelanjaan sektor awam melalui 11 langkah itu membuktikan kerajaan memandang
berat akan beban yang ditanggung rakyat.
“Bagaimanapun dalam tempoh jangka panjang kerajaan
perlu mempertimbangkan pengurangan kos-kos yang bakal naik dan melakukan
pengurusan teratur. Ini penting untuk masyarakat berasa lebih yakin dengan
kerajaan,” katanya.
Langkah kerajaan itu boleh dicontohi sektor swasta juga.
Sementara itu, Ketua Aktivis Persatuan Pengguna Islam
Malaysia (PPIM) Datuk Nadzim Johan berkata meskipun pengguna terpaksa berdepan
dengan situasi kenaikan harga barang dan perkhidmatan, mereka perlu melihatnya
secara positif.
“Pengguna perlu mengubah persepsi mereka supaya tidak
mengharapkan bantuan kerajaan semata-mata. Ubahlah gaya hidup dan cara
berbelanja, contohnya kalau individu itu merokok cubalah berhenti merokok.
“Selain itu, pengguna perlu bijak mengurus kewangan dan
memikirkan bagaimana untuk menambah sumber pendapatan,” katanya, yang
tidak menafikan rakyat memang berasa tertekan dengan isu kenaikan harga
barangan dan perkhidmatan.
Bagi bekas Presiden Pergerakan Pemuda Malaysia Tan Pei
Leong, masyarakat perlu bersedia menghadapi cabaran 2014 dengan tenang dan
mengekalkan perpaduan antara kaum.
“Setiap keputusan itu pasti ada yang bersetuju dan
tidak bersetuju. Namun, kita sebagai rakyat tiada gunanya terus merungut tanpa
melakukan apa-apa yang memberi kebaikan pada diri sendiri,” katanya.
Tan berkata sebagai masyarakat berilmu setiap individu perlu
melengkapkan diri dengan kemahiran kendiri bagi menghadapi segala cabaran dan
kos kehidupan yang terus meningkat.
Post Views: 156