1096) BERNAMA 9/1/2014 Penantian Penuh Makna-akta Baharu Undang-undang Kebankrapan
09 Jan 2014
Artikel pertama daripada dua siri ini akan menyingkap
keperluan akta baharu bagi menggantikan Akta Kebankrapan 1967, berikutan
diperkatakan akta sedia ada terlalu ketat dan sudah tidak relevan lagi.
KUALA LUMPUR (Bernama) — Setiap percaturan kewangan
diteliti sebaik-baiknya supaya tidak terbeban dengan lambakan hutang di masa
depan, itu prinsip Mohd Samran (bukan nama sebenar).
Biarpun memegang jawatan penting di sebuah syarikat, beliau
tidak terpengaruh untuk berbelanja di luar kemampuan malahan kehidupannya masih
dengan penampilan biasa.
Akan tetapi, segala langkah perbelanjaan berhemah dan
pengurusan kewangan sistematik yang diamalkannya selama ini seperti tidak
membawa apa-apa erti apabila beliau diisytiharkan muflis enam tahun lepas.
Semuanya, gara-gara menjadi penjamin kereta kepada isteri
anak saudaranya.
Malang tidak berbau, dan nasib Mohd Samran yang menjadi
mangsa keadaan ini turut dialami Fakhrul (bukan nama sebenar) namun berbeza
coraknya kerana membabitkan penipuan perniagaan.
Kedua-duanya masih muda, tetapi telah dibelenggu status
bankrap akibat ditipu rakan kongsi. Agak menyedihkan kerana ia bukanlah
kesalahan mereka, akan tetapi terpaksa menanggung penderitaan hanya kerana
tersilap melabuhkan ‘kepercayaan’.
SUSU DIBALAS DENGAN AIR TUBA
Apa yang berlaku kepada Mohd Samran dan Fakhrul, merupakan
antara secebis kisah masyarakat yang terjerat dengan masalah penipuan dan atas
dasar ikhlas membantu akhirnya menjurus mereka kepada dunia ‘kebankrapan’.
Ini kerana, kegagalan pihak peminjam melunaskan hutang
mereka menyebabkan penjamin sosial menjadi mangsa.
Mungkin ada yang mempertikaikan mengapakah tidak berfikir
dahulu sebelum rela hati menjadi penjamin, namun ada ketikanya situasi dan ikatan
terjalin menyebabkan mereka menjadi mangsa keadaan.
Biar apapun polemik diperkatakan, isu penjamin sosial bagi
apa-apa pinjaman selain daripada pinjaman komersil harus dipandang serius.
Penjamin sosial berada di tangga kelima terbanyak dalam
senarai mereka yang diisythirkan muflis mewakili 5,781 daripada 116,488
individu muflis berdasarkan pada rekod tahun 2007 sehingga September 2013.
Senario ini membimbangkan kerana individu-individu ini telah
gelap masa hadapan mereka gara-gara menanggung beban hutang orang lain dan isu
ini telah menarik perhatian Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak.
MENERIMA PERHATIAN NAJIB
Najib selaku Presiden Umno ketika menggulung perbahasan pada
hari terakhir Perhimpunan Agung Umno 2012 telah berkata bahawa kerajaan akan
membuat peraturan baharu kerana undang-undang kebankrapan sedia ada dilihat
terlalu ketat.
“Tapi bukan semua kerana ada yang berhutang
berjuta-juta. Yang mana boleh dan munasabah, kita akan bantu.
“Kalau diisytihar bankrap, kadang-kadang ia bukan salah
kita, kita jadi penjamin sahaja. Kasihan, tak semena-mena kena,” kata
Najib dipetik dalam satu laporan berita.
Antara punca lain kes kebankrapan adalah berhubung sewa beli
kenderaan 26.14 peratus, pinjaman perumahan (17.62 peratus), pinjaman peribadi
(15.50 peratus) dan pinjaman perniagaan (12.39 peratus).
STIGMA
Sememangnya, bukan mudah menjalani kehidupan sebagai seorang
bankrap. Selain stigma masyarakat memandang serong golongan ini, mengikut
undang-undang mereka akan berhadapan hilang kelayakan dan sekatan dalam
pelbagai perkara.
“Seseorang individu muflis itu akan terus hilang hak
melakukan sesuatu. Contohnya, tidak boleh menjadi anggota Parlimen.
“Sekatan pula merujuk kepada seseorang muflis disekat
berbuat sesuatu kecuali dengan kebenaran daripada Ketua Pengarah Insolvensi.
Contoh, hendak ke luar negara,” kata Pengarah Insolvensi Bahagian
Kebankrapan, Jabatan Insolvensi Malaysia, Lim Kui Lee kepada Bernama.
Menjelaskannya dengan merujuk kepada laman sesawang Jabatan
Insolvensi Malaysia, semua harta milik muflis akan diletakkan hak di bawah
Ketua Pengarah Insolvensi berlandaskan kepada Seksyen 24(4) Akta Kebankrapan
1967.
Manakala, semua akaun simpanan akan ditutup, segala
transaksi akan disekat bagaimanapun mereka boleh membuka akaun baharu atau
mengaktifkan akaun sedia ada bagi tujuan seperti kemasukan wang gaji dengan
syarat mendapat kebenaran daripada Ketua Pengarah Insolvensi.
Mereka juga tidak dibenarkan bekerja di syarikat milik
pasangan, anak atau saudara-mara, menjalankan perniagaan pemilikan tunggal
tanpa kebenaran Ketua Pengarah Insolvensi atau mahkamah.
KEPERLUAN AKTA BAHARU
Melihat antara implikasi yang ditanggung oleh si muflis,
adalah sangat tidak adil apabila kebebasan hidup golongan teraniaya, tertipu,
diragut akibat menjadi mangsa keadaan.
Atas sebab itu, Sekretariat Bebas Muflis ditubuhkan dengan
kerjasama Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM) bertujuan membantu golongan
muflis khususnya mereka yang teraniaya akibat menjadi penjamin sosial, masalah
teknikal dan tertipu.
Pengerusi sekretariat berkenaan, Datuk Sohaimi Shahadan
berkata terdapat kewajaran untuk mengkaji balik Akta Kebankrapan 1967 dengan
menggantikannya dengan akta baharu kerana dilihat akta lama sudah tidak relevan
lagi pada masa kini.
Selain masalah penjamin sosial, juga wujud kes penipuan
seperti tandatangan ditiru atau kecurian kad pengenalan yang akhirnya
mengakibatkan seseorang itu muflis.
Justeru, sekretariat telah mengemukakan beberapa cadangan
yang telah dipanjangkan kepada pihak kerajaan dalam penambahbaikan akta itu.
Ini termasuklah menghapuskan sistem penjamin dalam semua
jenis pinjaman dan bagi penjamin sedia ada patut dibenarkan menarik diri atas
sebab tertentu dan ini perlu dimasukkan dalam syarat penjamin.
PELEPASAN AUTOMATIK
Kerajaan kini dalam proses mengkaji semula dan menggubal
akta baharu bagi menggantikan Akta Kebankrapan 1967 yang turut tertumpu kepada
peruntukan memudahkan individu yang diisythar muflis mendapat pelepasan
kebankrapan.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri Nancy Shukri dipetik
berkata draf rang undang-undang kebankrapan itu telah dibawa kepada perhatian
pihak Jabatan Peguam Negara.
“Akta Kebankrapan 1967 sudah terlalu lama dan akan
digantikan dengan akta baharu yang antara kandungannya meliputi pelepasan
secara automatik.
“Bagi peruntukan pelepasan, antara peruntukan yang
dicadangkan adalah pelepasan secara automatik selepas kes ditadbir dalam satu
tempoh masa tertentu,” katanya.
Berdasarkan akta sedia ada, terdapat tiga cara bagi
seseorang muflis itu keluar daripada status bankrap iaitu pelepasan melalui
perintah mahkamah, sijil pelepasan Ketua Pengarah Insolvensi dan pembatalan
melalui perintah mahkamah.
“Kita minta mereka yang bayar dengan konsisten kepada
jabatan setiap bulan dan memenuhi kriteria ditetapkan, dilepaskan secara
automatik selepas tiga tahun. Ini membantu belia muflis termasuklah usahawan
muda mendapatkan peluang kedua,” kata Sohaimi.
Akta sedia ada terlalu ketat kerana hutang sebanyak RM30,000
sudah diisytihar muflis dan disebabkan itulah sekretariat juga mencadangkan
hutang itu dinaikkan kepada sekurang-kurangnya RM100,000, jelasnya.
Post Views: 158