1099) SINAR HARIAN 10/1/2014 PERSATUAN PENGGUNA KENA LANTANG BERSUARA
11 Jan 2014
SHAH ALAM – Persatuan pengguna digesa lebih lantang dalam
menyuarakan hak rakyat terutamanya membabitkan peningkatan kos sara hidup dan
harga barang keperluan.
Dr Maszlee Malik berkata, usaha itu perlu dilakukan
memandangkan tindakan atau langkah yang dijalankan oleh persatuan pengguna
sebelum ini dilihat kurang membantu rakyat.
“Sebahagian besar NGO seperti Gabungan Persatuan Pengguna
(Fomca), Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM) perlu wujudkan market watch
bagi memantau secara kerap harga barangan yang dijual.
“Bantahan juga saya rasakan bukan tertumpu pada kerajaan
sahaja, malah kepada syarikat-syarikat besar yang sewenang-wenangnya menaikkan
harga barangan,” katanya selepas Wacana Sinar di Kompleks Media Karangkraf,
semalam.
Katanya lagi, kerajaan juga wajar bekerjasama dengan pihak
pembangkang bagi mengatasi permasalahan kenaikan tersebut sekali gus mampu
meringankan beban yang ditanggung oleh rakyat.
Ketika ditanya tentang kewajaran wacana tersebut diadakan
secara kerap, Dr Maszlee yang juga moderator program tersebut berkata, semua
pihak terutamanya organisasi media wajib menganjurkan program sedemikian demi
memberikan informasi berguna dan telus.
“Selain menyalurkan perkara telus, media juga adalah di
kalangan rakyat. Jadi nak atau tak, mereka kena berpihak kepada rakyat,”
katanya.
Post Views: 128