Logo
PERSATUAN PENGGUNA ISLAM MALAYSIA
70X, Jalan Keramat Hujung, 54000 Kuala Lumpur
Email : salam@ppim.org.my
Hotline : +6019-359 1000
Tel : +603-4257 7222 / +603-4256 6618
IKUTI KAMI DI :
1138) UTUSAN MALAYSIA 6/2/2014 KEPUTUSAN TIDAK NAIKKAN KADAR TOL MENGGEMBIRAKAN RAKYAT
06 Feb 2014

KUALA LUMPUR 5 Feb. – Keputusan kerajaan tidak menaikkan
kadar tol di seluruh negara disifatkan sebagai khabar gembira yang sudah lama
ditunggu-tunggu rakyat, sekali gus menamatkan pelbagai spekulasi berhubung
perkara tersebut.
Presiden Persatuan Pengguna Subang dan Shah Alam (CASSA),
Datuk Dr. Jacob George menyifatkan pengumuman itu sebagai tanda keprihatinan
kerajaan terhadap masalah rakyat.
Katanya, pengumuman tersebut juga dapat menamatkan spekulasi
berhubung kenaikan kadar tol yang telah tersebar luas, khususnya dalam media
baharu.
“Keputusan ini tepat kerana jika kadar tol dinaikkan,
sudah pasti kenaikan harga barang juga akan berlaku.
“Saya yakin rakyat berasa lega dan seterusnya berterima
kasih dengan keputusan kerajaan ini,” katanya ketika diminta mengulas
pengumuman Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin hari ini tentang
kadar tol di seluruh negara tidak akan dinaikkan tahun ini.
Muhyiddin berkata, langkah tersebut diambil supaya rakyat
tidak dibebani dengan kadar tol baharu.
Sementara itu, Ketua Aktivis Persatuan Pengguna Islam
Malaysia (PPIM), Datuk Nadzim Johan berkata, sudah tentu rakyat gembira dengan
pengumuman tersebut kerana sebelum ini ada pihak yang sengaja
menggembar-gemburkan kenaikan kadar tol sehingga ramai terpengaruh, sedangkan
perkara itu belum dimuktamadkan lagi.
“Sehubungan itu, saya menggesa kerajaan mengambil
tindakan terhadap mereka yang sengaja menyebarkan tuduhan berhubung kenaikan
kadar tol sehingga menimbulkan tidak puas hati dalam kalangan rakyat sedangkan
perkara itu tidak benar sama sekali,” katanya.
Turut berkongsi pandangan sama, Presiden Lembaga Pelindung
dan Kebajikan Pengguna Malaysia, Datuk Seri Saharuddin Awang Yahya yang
menyokong penuh keputusan kerajaan untuk mengekalkan kadar tol sedia ada.
Katanya, keputusan itu mampu mengurangkan bebanan kewangan
rakyat, khususnya yang menggunakan lebuh raya setiap hari untuk ke tempat
kerja.
“Saya yakin pengumuman tersebut dapat mengembalikan
keyakinan rakyat terhadap kerajaan dalam mendengar keluhan rakyat di akar
umbi,” jelasnya