1149) UTUSAN MALAYSIA 12/2/2014 PENGGUNA PENENTU HARGA BARANG
12 Feb 2014
PUTRAJAYA 11 Feb. – Kerajaan akan memulakan kempen gerak
saraf dalam mendidik pengguna agar mereka sedar mengenai hak dan peranan
masing-masing, terutama sebagai penentu utama harga barangan di pasaran.
Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan,
Datuk Seri Hasan Malek berkata, gerak saraf tersebut akan menumpukan pada
kaedah menangani kos sara hidup dan budaya hidup pengguna menerusi maklumat
yang bakal dikongsi oleh 20 pertubuhan bukan kerajaan (NGO) pengguna.
Menurut beliau, kesemua NGO yang mempunyai kepakaran dalam
bidang masing-masing itu akan berperanan mendekati masyarakat di seluruh negara
melalui kaedah tersebut.
“Kita akan bekerjasama dengan NGO untuk memberikan
penerangan dan menerapkan ilmu kepenggunaan kepada masyarakat di bandar dan
luar bandar, tempat awam dan institusi pendidikan tinggi.
“Sebagai contoh untuk gerak saraf ini, kita telah
mengenal pasti NGO berkenaan seperti Gabungan Pelajar Melayu Semenanjung (GPMS)
yang akan mendidik pelajar di sekolah supaya membawa bekalan makanan manakala
Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM) berperanan mendidik masyarakat dalam
isu produk halal,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar pada Majlis
Penyerahan Bantuan Khas Kewangan Kempen Pemerkasaan Pendidikan Pengguna Kepada
NGO di sini hari ini.
Sementara itu Hasan berkata, sebanyak 20 NGO diberikan dana
sebanyak RM3.5 juta bagi menggerakkan kempen pemerkasaan pengguna seperti
diputuskan dalam Mesyuarat Jawatankuasa Khas Menangani Kos Sara Hidup pada
minggu lalu.
Antara NGO tersebut katanya, ialah Persatuan Suri dan
Anggota Wanita Perkhidmatan Awam Malaysia (Puspanita), Persatuan Pengguna Pulau
Pinang (CAP), Persatuan Ekonomi Pengguna dan Keluarga Malaysia (Macfea).
NGO lain katanya, PPIM, GPMS, Persatuan Keselamatan Pengguna
Kuala Lumpur, Lembaga Pelindung dan Kebajikan Pengguna Malaysia, Pertubuhan
Pembimbing Kewangan Pengguna dan Keluarga Malaysia, Persatuan Pengguna Subang
dan Shah Alam (CASSA) dan Majlis Belia Malaysia (MBM).
Pada masa sama, beliau berkata, pihaknya juga telah merangka
pelan lima tahun tindakan pemerkasaan pendidikan pengguna yang meliputi sasaran
jangka pendek, sederhana dan panjang.
Hasan berkata, antara pelan jangka pendek ialah penjelajahan
pendidikan pengguna menerusi saluran media baharu bertujuan menyebarkan isu
kepenggunaan dengan lebih cepat dan meluas.
“Menerusi pelan ini kita akan minta NGO untuk turun ke
bawah dan memberi ilmu kepenggunaan kepada rakyat mengenai hak dan apa yang
perlu mereka tahu sebagai pengguna.
“Media baharu pula akan berperanan menyebarkan isu-isu
kepenggunaan dan menjadi sumber maklumat kepada orang ramai untuk membuat
perbandingan harga di sesuatu kawasan,” katanya.
Post Views: 154