Logo
PERSATUAN PENGGUNA ISLAM MALAYSIA
70X, Jalan Keramat Hujung, 54000 Kuala Lumpur
Email : salam@ppim.org.my
Hotline : +6019-359 1000
Tel : +603-4257 7222 / +603-4256 6618
IKUTI KAMI DI :
1162) UTUSAN MALAYSIA 15/2/2014 VANDALISME ANCAMA TELEFON AWAM
17 Feb 2014

KESEDARAN sivik dan penekanan terhadap nilai-nilai murni
sangat penting dalam membentuk budaya masyarakat yang menghargai telefon awam.
Jika tidak, perbuatan vandalisme akan terus berleluasa
lantas menimbulkan kesukaran dan mungkin memudaratkan pengguna lain yang
memerlukan khidmat telefon awam di saat genting.
Melihat kepada statistik vandalisme yang dikeluarkan Muzium
Telekom pada tahun 2001 hingga 2007, ternyata begitu banyak kes vandalisme.
Bermula pada 2001, jumlah keseluruhan vandalisme yang
dicatatkan di seluruh negara adalah sebanyak 9,631 kes, 9,745 (2002), 7,404 (2003),
10,898 (2004), 7,851 (2005), 2,002 (2006) dan 241 (2007).
Walaupun terdapat penurunan masalah tersebut pada 2004
hingga 2007, namun tiada petunjuk bahawa kesedaran kepentingan menjaga telefon
awam sudah meningkat.
Ini berikutan banyak aduan dan rungutan dipaparkan di dalam
media mengenai kerosakan telefon awam dan kemungkinan penurunan berlaku
disebabkan faktor peralihan kepada gajet yang lebih canggih.
Menurut Presiden Lembaga Pelindung dan Kebajikan Pengguna
Malaysia (LPKPM), Datuk Seri Dr. Saharuddin Awang Yahya, kes vandalisme
merupakan isu utama yang sering kali dikaitkan dengan telefon awam.
“Sikap segelintir pengguna yang suka memecahkan
telefon, putuskan wayar dan mencabut ganggang menyebabkan banyak telefon awam
tidak boleh digunakan. Bahkan, ada juga yang mencuri duit syiling.
“Sebab itu, perubahan sikap amat penting dan menjadi
perkara utama yang perlu ditekankan bagi memastikan kemudahan telefon awam
dapat digunakan secara berterusan,” katanya.
Katanya, setiap masyarakat perlu mempunyai kesedaran, jika
tidak telefon awam yang kian berkurangan akan hilang dari pandangan umum.
“Walaupun orang ramai sudah beralih kepada penggunaan
telefon bimbit, namun kemudahan telefon awam juga amat penting.
“Manalah tahu tiba-tiba berlaku kecemasan dan pada masa
sama telefon bimbit pula kehabisan bateri atau tidak ada kredit, bukankah
telefon awam boleh menyelamatkan keadaan,” katanya.
Saharuddin berkata, kadang-kadang kerosakan telefon awam
disebabkan vandalisme ini berlaku kerana kegagalan kemudahan itu berfungsi.
“Kita tidak menolak kemungkinan rasa marah yang timbul
akibat tidak dapat membuat panggilan walaupun duit telah dimasukkan atau
‘ditelan’ mendorong seseorang untuk melakukan vandalisme.
“Justeru, kualiti perkhidmatan juga perlu
dipertingkatkan dari semasa ke semasa termasuk sistem dan mekanikal telefon itu
sendiri,” katanya.
Beliau pada masa sama menyarankan agar kemudahan telefon
awam mengutamakan penggunaan kad berbanding duit syiling kerana langkah itu
dapat mengurangkan vandalisme.
“Menerusi langkah itu, risiko kecurian duit syiling
secara tidak langsung dapat ditangani sekali gus mengelakkan syarikat
telekomunikasi menanggung kerugian yang tinggi,” katanya.
Sementara itu, Ketua Aktivis Persatuan Pengguna Islam
Malaysia (PPIM), Datuk Nadzim Johan tidak menafikan perbuatan vandalisme
berlaku akibat kurang didikan dan penerapan nilai-nilai murni dari segi
kesedaran menjaga kemudahan awam.
“Sesetengah pengguna mempunyai satu penyakit ‘gatal’
tangan nak buat vandalisme. Pantang nampak telefon awam, mulalah rosakkan semua
benda, dengan telefon sekali dicabutnya.

“Itu adalah salah satu tabiat buruk yang perlu
diperbetulkan dalam usaha melahirkan sebuah masyarakat yang bijak
berfikir,” katanya