1181) BERITA HARIAN 3/3/2014 LABEL AYAM HALAL
03 Mar 2014
Headline: Label ayam halal (HL)
Publication: BH
Date of publication: Mar 3, 2014
Section heading: Main Section
Page number: 001
Byline / Author: Oleh Azrul Affandi Sobry; Sarah Sulaiman
Kuala Lumpur: Kerajaan dicadang mewajibkan pusat sembelihan
yang tidak memiliki sijil halal mengisytiharkan ayam yang dikeluarkan dari pusat
berkenaan sebagai tidak halal.
Mufti Selangor Datuk Mohd Tamyes Abd Wahid dan Gabungan
Persatuan Pengguna Malaysia (FOMCA) mengemukakan cadangan itu untuk melindungi
kepentingan pengguna Islam yang kini dibelenggu masalah kesahihan ayam halal.
Ayam syubhah diedar
Ketika mengulas pembongkaran BH mengenai kelompangan dalam
penguatkuasaan sehinggakan ayam yang diproses secara syubhah diedar kepada
pengguna Islam, mereka berpendapat sudah sampai masanya kerajaan melihat semula
peraturan mengenai pengedaran ayam sembelihan di negara ini.
Mufti Selangor, Datuk Mohd Tamyes Abd Wahid, berkata
pembekal sepatutnya mengisytihar dan meletakkan label status halal bagi ayam
sembelihan yang dipasarkan bagi mengelakkan orang Islam terbeli yang tidak
halal kerana kaedah penyembelihan yang meragukan serta tidak sah mengikut
syariat Islam.
Katanya, ia memudahkan umat Islam memilih sumber bekalan
ayam sembelihan halal berdasarkan label, manakala bagi ayam sembelihan tidak
halal boleh dipasarkan untuk pengguna bukan Islam.
“Kerajaan juga perlu segera mewujudkan tempat
sembelihan halal bagi memudahkan umat Islam mendapatkan sumber bekalan ayam
yang tidak lagi diragui statusnya,” katanya ketika dihubungi BH, semalam.
Pengarah Komunikasi FOMCA, Mohd Yusof Abdul Rahman, pula
berkata tidak cukup sekadar penyembelih mempunyai tauliah untuk membolehkan
mereka membekal ayam kepada pengguna Islam, sedangkan kaedah pengendalian
meragukan.
Desak kerajaan lebih tegas
“Mesti ada sijil halal jika mahu jual (ayam sembelihan)
kepada orang Islam. Jika tiada sijil halal, terus isytihar tidak halal kerana
kita tidak mahu orang Islam dapat ayam sembelihan yang diragui halalnya. Jika
sudah ada label itu, terpulang kepada pengguna untuk pilih sama ada mahu yang
halal atau meragukan,” katanya.
Setiausaha Agung Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM),
Datuk Maamor Osman, pula mendesak kerajaan lebih tegas dan melaksanakan segera
cadangan mendirikan pusat penyembelihan ayam setempat.
Katanya, pusat penyembelihan ayam setempat dengan peruntukan
RM20 juta sudah lama diumumkan, namun sehingga hari ini tidak ada sebarang
perkembangan.
“Dalam isu ini, pihak berwajib terutama pihak berkuasa
tempatan (PBT) ada banyak bidang kuasa untuk bertindak. Mereka boleh tambah
dalam peraturan supaya semua rumah sembelihan mesti ada sijil halal.
“Mana-mana pusat sembelihan yang kotor dan tidak
mematuhi spesifikasi termasuk kendalian ayam secara meragukan wajar ditutup
serta-merta. Penguatkuasa perlu berani dan jangan beri ruang kepada mereka.
“Sebenarnya PPIM sudah lama sedar dan kecewa dengan
senario ini. Ayam di negara ini memang banyak dikendalikan tanpa mengikut
kaedah sepatutnya. Cuba lihat di Chow Kit, ayam dicampak atas lantai kotor dan
senario ini disedari oleh PBT,” katanya.
Post Views: 158