Logo
PERSATUAN PENGGUNA ISLAM MALAYSIA
70X, Jalan Keramat Hujung, 54000 Kuala Lumpur
Email : salam@ppim.org.my
Hotline : +6019-359 1000
Tel : +603-4257 7222 / +603-4256 6618
IKUTI KAMI DI :
1189) BERNAMA 14/3/2014 PEMBELI RUMAH TIDAK PERLU TANGGUNG HUTANG JIKA PROJEK TERTUNGGAK -PPIM-
17 Mar 2014

KUALA LUMPUR, 14 Mac (Bernama) — Pembeli rumah tidak bertanggungjawab terhadap pinjaman perumahan bagi projek yang terbengkalai, sebaliknya hutang itu harus dituntut daripada pemaju dan juga peguam yang terlibat.

Ketua Aktivis Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM) Datuk Nadzim Johan berkata masih ramai pembeli tidak sedar akan hak mereka itu yang sebenarnya sebahagian daripada terma perjanjian jual beli yang ditandatangani.

“Tetapi apabila projek terbengkalai, kebanyakan bank tidak tuntut hutang daripada pemaju atau peguam, sebaliknya ambil tindakan ke atas pembeli atas alasan tidak dapat cari pemaju dan peguam,” katanya dalam sidang media, di sini Jumaat.

Susulan itu, Nadzim berkata PPIM akan mengadakan kempen kesedaran dalam kalangan pengguna selain membawa isu tersebut kepada Bank Negara dan pihak berwajib lain.

Sementara itu aktivis PPIM yang turut hadir, Sheikh Abd Kareem S Khadaied berkata persatuan berkenaan menerima beberapa aduan daripada pembeli rumah yang ditekan oleh pihak bank.

Ada kes pembeli yang ditekan membawa kes ini ke mahkamah, namun beratus ribu lagi terus ditekan sebab tidak tahu terma perjanjian, katanya.



— BERNAMA