KUALA LUMPUR: Gabungan 13 badan bukan kerajaan (NGO) Islam dan Melayu menyeru semua parti sama ada kerajaan, pembangkang atau bebas untuk bekerjasama sebagai satu pasukan dalam usaha menangani pandemik COVID-19 yang melanda negara, ketika ini.
Koordinator NGO itu, Ahmad Yazid Othman berkata, sikap parti dan pemimpin parti yang sering bercakaran sesama sendiri hanya mengganggu proses pemulihan pandemik dan ekonomi dirancang kerajaan.
“Selagi mereka terus bercakaran dan melemparkan cemuhan serta kata nista antara satu sama lain, selagi itulah permasalahan COVID-19 ini tidak akan selesai.
“Rakyat juga akan hilang kepercayaan terhadap institusi Parlimen dan kuasa eksekutif Jemaah Menteri. Ia perlu dipulihkan segera supaya rakyat melihat kesungguhan dan kerjasama dalam membendung pandemik ini secara kolektif,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
13 NGO terbabit adalah Pertubuhan Pembela-Pembela Islam (PEMBELA), Dewan Perniagaan Melayu Malaysia (DPMM), Persatuan Peguam Muslim Malaysia (PPMM), Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM), AMAL SEJAGAT MALAYSIA dan Himpunan Anak Kedah SeMalaysia (HaKEM).
Ia termasuk, Gabungan Demi Melayu, Majlis Tindakan Ekonomi Melayu Bersatu Berhad (MTEM), Gerakan Ekonomi Malaysia (GEM), Pertubuhan Pembangunan dan Inovasi Wanita (WADI Malaysia), PAKAR Malaysia, Pertubuhan Sinar Rahmah dan MyVoice Malaysia.
Ahmad Yazid berkata, Gabungan NGO terbabit turut mendesak kerajaan mengusulkan beberapa perkara kepada Yang di-Pertuan Agong antaranya menyambung tempoh darurat ke satu tarikh dianggap munasabah bertujuan menstabilkan keadaan politik dan mengawal penularan COVID-19.
“Kami juga mahu Majlis Gerakan Negara Pandemik diwujudkan bagi membolehkan Yang di-Pertuan Agong menentu serta memilih tokoh dirasakan sesuai untuk menganggotainya termasuk mencadangkan penubuhan Majlis Gerakan Negara (MAGERAN).
“Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15) perlu diadakan sebaik saja MAGERAN tamat seiring berakhirnya tempoh sah Parlimen pada Mei 2023 atau lebih awal lagi, bagi membolehkan hak memilih kerajaan ditentukan sepenuhnya oleh rakyat,” katanya.
Artikel oleh: Berita Harian
13 NGO MELAYU SERU PARTI HENTI BERTELAGAH
https://www.bharian.com.my/berita/nasional/2021/08/845823/13-ngo-melayu-seru-parti-henti-bertelagah