Kuala Lumpur: Tindakan peruncit mengehadkan pembelian minyak masak jenis peket ke atas pelanggan di bandar raya ini mampu mengawal bekalan bahan mentah itu daripada kehabisan akibat pembelian panik sempena perayaan Tahun Baharu Cina dan Thaipusam, baru-baru ini.
Tinjauan Metro Ahad di kedai runcit dan pasar raya di Wangsa Maju dan Semenyih, dekat sini, mendapati bekalan minyak masih mencukupi, sekali gus boleh menampung permintaan pelanggan.
Kebanyakan peruncit mengehadkan pembelian supaya bekalan di kedai mereka sentiasa ada selain mengawal pembelian oleh orang ramai secara pukal.
Menurut seorang pemilik kedai runcit Azman Karim Abdullah, 50, tindakannya mengehadkan pembelian minyak masak jenis peket kepada dua saja setiap individu terpaksa dilakukan kerana ada antara mereka sengaja membeli secara pukal kerana mahu membuat simpanan stok.
“Saya tidak rugi mengehadkan pembelian minyak masak kepada dua peket saja setiap individu kerana ada lagi pelanggan mahu membelinya dan rasa tidak senang apabila melihat bekalan itu habis di premis.
“Setakat ini, bekalan minyak masak peket tiada masalah termasuk juga jenis botol cuma tempat lain saya tidak tahu pula,” katanya, di sini, semalam.
Sementara itu, seorang lagi pemilik kedai runcit di Ampang, Asmah Halim, 45, berkata, sebelum ini premisnya mengalami kekurangan minyak masak jenis peket cuma berlaku dalam tempoh singkat saja.
“Minggu lalu bekalan minyak jenis peket sememangnya tidak mencukupi kemungkinan disebabkan musim cuti dan ramai yang buat majlis kenduri.
“Namun, masalah bekalan minyak masak itu hanya berlaku dalam beberapa hari saja sebelum kembali pulih seperti biasa,” katanya ketika ditemui, di sini.
Sementara itu, Ketua Aktivis Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM) Datuk Nadzim Johan berkata, setakat ini, pihaknya tidak menerima sebarang aduan berkaitan kekurangan bekalan minyak masak jenis peket daripada pengguna.