Sebanyak 15 pengusaha stesen minyak antarabangsa meluahkan rasa kesal dengan tindakan syarikat itu memberikan notis penamatan operasi tanpa sebab yang menyebabkan mereka hilang mata pencarian yang diusahakan selama bertahun-tahun.
Seorang pengusaha, Fauziah Ahmad Fadzil, 47, ketika ditemui mendakwa notis yang diterima pada 31 Mei lepas itu hanya menyatakan tempoh 30 hari untuk mereka mengosongkan dan menyerahkan kembali pemilikan stesen kepada syarikat berkenaan pada 17 Julai ini.
Beliau berkata tindakan ‘tidak sensitif’ syarikat itu juga menyebabkan pihaknya dan 14 pengusaha lain terpaksa menanggung kerugian lebih RM2 juta yang dilaburkan untuk perniagaan berkenaan.
“Kami ingin mengetahui mengapa stesen minyak yang kami usahakan selama ini diberi notis penamatan sedangkan kami telah menjalankan perniagaan dengan bersungguh-sungguh malah ada antara kami yang mendapat markah yang tinggi dalam sesi pengauditan khidmat pelanggan.
“Bukan kami saja yang terkesan, malah pekerja-pekerja stesen kami juga terpaksa diberhentikan menyebabkan kebanyakan mereka menyambut Aidilfitri dalam keadaan tiada mata pencarian,” katanya yang mewakili pengusaha berkenaan kepada pemberita, di sini hari ini.
Lima belas pengusaha terbabit adalah dari seluruh Semenanjung dengan sebahagian besar beroperasi di Lembah Klang.
Dalam pada itu, Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM) yang menerima aduan pengusaha stesen minyak terbabit memohon campur tangan kerajaan khususnya Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK).
Ketua Aktivis PPIM Datuk Nadzmi Johan berkata ini kerana usaha kumpulan pengusaha terbabit untuk bertemu dan berbincang dengan pengurusan syarikat minyak berkenaan tidak dilayan menyebabkan isu tidak dapat diselesaikan sehingga kini.
Katanya kerajaan juga perlu memantau industri berkenaan bagi memastikan perjanjian perniagaan tidak berat sebelah.
“PPIM berharap KPDNKK atau agensi berwajib dapat melihat perkara ini dengan serius kerana kebanyakan pengusaha stesen minyak adalah golongan bumiputera dan hanya dengan campur tangan kerajaan dapat elakkan perkara sama terus berlaku,” katanya.
– Bernama
http://www.malaysiakini.com/news/386278