Logo
PERSATUAN PENGGUNA ISLAM MALAYSIA
70X, Jalan Keramat Hujung, 54000 Kuala Lumpur
Email : salam@ppim.org.my
Hotline : +6019-359 1000
Tel : +603-4257 7222 / +603-4256 6618
IKUTI KAMI DI :
1,500 INDIVIDU ‘HIDUP SEMULA’ 6 OKTOBER INI – HARIAN METRO – 08/09/2022
08 Sep 2022

Apa yang ada pada bulan Oktober? Ia mungkin sekadar memasuki bulan baharu bagi kebanyakan orang, namun bagi kelompok yang diisytihar muflis, ia begitu bermakna.

Ia berikutan dianggarkan seramai 1,500 individu yang dijatuhi hukuman bankrap pada Oktober 2017 akan ‘bebas secara automatik’ pada 6 Oktober ini berdasarkan kepada Seksyen 33C, Akta Insolvensi (Pindaan 2017).

Perkembangan itu juga bermakna selepas lima tahun bankrap dan mematuhi segala syarat ditetapkan, maka individu bankrap boleh dibebaskan secara automatik. Secara puratanya bagi tahun 2017 terdapat 1,519 individu bankrap setiap bulan pada tahun berkenaan. Jumlah itu berdasarkan data Jabatan Insolvensi Malaysia (MdI) yang menunjukkan 3,684 orang muflis bagi 2021 setakat Jun lalu, dan 8,351 muflis bagi sepanjang tahun 2020.

Senario membabitkan orang muflis ini sudah lama didengar, malah badan bukan kerajaan seperti Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM) menerima pelbagai aduan, rayuan dan luahan daripada mereka yang berdepan muflis ini. Ia satu kisah yang amat sedih dan memilukan sehingga ada yang berhasrat membunuh diri, meninggalkan keluarga dan menangis kerana kepada mereka, hidup sudah pun berakhir.

Tidak boleh buka akaun, tidak boleh buat pinjaman pengajian anak dan hidup tidak seperti orang lain manakala murung serta sering termenung menjadi adat kepada sebahagian besar daripada mereka.

Berdasarkan rekod kebankrapan yang ditadbir sehingga Disember 2019, ada 299,186 kes manakala bagi tempoh 2015 hingga Disember 2019, sebanyak 84,805.

Data lengkap daripada MdI berhubung jumlah mereka yang jatuh hukum pada 6 Oktober 2017 mungkin akan diketahui dan ia menjadi detik yang ditunggu-tunggu selama ini. Mereka yang menjalani hukuman bermula 6 Oktober 2017 sudah maklum mengenai prosedur operasi standard (SOP) untuk bebas bankrap dan perlu disediakan pihak terbabit bagi membolehkan individu bankrap terbabit membuat persediaan.

Persoalannya adakah terdapat pelepasan secara automatik untuk bankrap kerana menurut Jabatan Insolvensi Malaysia, pelepasan automatik hanya tertakluk kepada kelayakan ditetapkan peruntukan akta seperti berikut:

1. Notis Kebankrapan (BN) dikeluarkan pada atau selepas 6 Oktober 2017.

2. Telah memfailkan Pernyataan Hal Ehwal (PHE) mengikut Seksyen 16, Akta 360.

3. Telah mengisi borang permohonan dan aku janji untuk mematuhi sasaran sumbangan (TC) dan pemfailan penyata pendapatan bagi tempoh enam (6) bulan.

4. Tempoh tiga tahun pemantauan sasaran sumbangan (TC) bermula dari tarikh PHE difailkan.

5. Bankrap mematuhi (TC) yang ditetapkan oleh KPI dengan mengambil kira beberapa perkara yang ditetapkan dalam akta.

Itu bermakna mana-mana individu bankrap yang gagal menyelesaikan TC dalam tempoh tiga tahun seperti mana ditetapkan tidak layak mendapat pelepasan secara automatik dan kes akan ditadbir seperti biasa sehingga satu keadaan boleh diputuskan kemudian oleh MdI.

Oleh itu, bolehlah dibuat kesimpulan pada tarikh 6 Oktober 2022, individu bankrap terbabit wajib bebas dan harus mendapat pembebasan automatik di bawah peruntukan Seksyen 33C Akta Insolvensi 1967.

Hakikatnya, akan keringlah air mata mereka yang muflis dan terpilih untuk dibebaskan, sekurang-kurangnya akan ada perubahan daripada bertahun-tahun sebelum ini terbiar sepi ketika ramai merana.

Penulis Ketua Aktivis Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM)

Artikel oleh: Harian Metro

1,500 INDIVIDU ‘HIDUP SEMULA’ 6 OKTOBER INI

https://www.hmetro.com.my/rencana/2022/09/879721/1500-individu-hidup-semula-6-oktober-ini