KUALA LUMPUR 23 Dis. – Sebanyak 1,500 premis judi tidak berlesen didakwa masih beroperasi di Selangor dan Kuala Lumpur meskipun Polis Diraja Malaysia (PDRM) melakukan pelbagai operasi serbuan sejak awal tahun lalu sehingga sekarang.
Daripada jumlah itu, lebih 800 premis beroperasi tanpa lesen di Selangor dan selebihnya di Kuala Lumpur.
Menurut sumber polis, pengusaha premis judi juga berani meneruskan beroperasi walaupun premis mereka sering diserbu oleh pihak berkuasa.
“Hampir lima sehingga lapan kali setahun premis mereka diserbu namun selepas tempoh tertentu mereka kembali beroperasi,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.
Tambah sumber, mengikut statistik PDRM, 4,514 individu ditahan dalam 4,137 serbuan Op Dadu bagi membanteras judi haram yang dijalankan di Selangor sejak awal tahun ini sehingga bulan lalu.
“Sepanjang tempoh itu juga, 56,757 mesin dan RM391,182 wang tunai turut dirampas,” ujarnya.
Sementara itu, Pengarah Unit Tindakan Khas Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM), Muhammad Yusuf Azmi berkata, penguatkuasaan yang lemah di peringkat pihak berkuasa tempatan (PBT) dilihat menjadi punca masalah premis judi haram menjadi semakin parah di Selangor.
Ujarnya, hasil risikan dan pemantauan PPIM sebelum ini mendapati lebih 6,000 premis judi tidak berlesen beroperasi di Selangor.
“Telah lama kita mendesak pihak PBT untuk bertindak, jika mereka mempunyai kuasa merobohkan resort yang dipercayai beroperasi tanpa lesen, kenapa mereka tidak berbuat demikian ke atas pusat-pusat judi ini.
“Pusat judi haram ini yang perlu dihapuskan terlebih dahulu kerana boleh mengganggu ketenteraman awam dan merosakkan masyarakat setempat,” tegasnya.