KUALA LUMPUR 30 April – Kerajaan perlu menguatkuasakan penggunaan bahasa Melayu secara mandatori pada keterangan di label produk-produk import yang memasuki negara ini.
Ketua Aktivis Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM), Datuk Nadzim Johan berkata, ia bagi memastikan hak pengguna untuk mengetahui kandungan dan arahan pada produk tersebut terbela selain memartabatkan Bahasa Kebangsaan seperti yang dilakukan di kebanyakan negara maju.
Kita terlalu ambil mudah dengan perkara ini (penggunaan bahasa Melayu pada produk import). Orang luar ambil kesempatan, sepatutnya kalau orang hendak berniaga dengan kita, mereka kena ikut undang-undang kita, bukan ikut sesuka hati mereka.
Tak perlu lihat jauh. Di Indonesia, produk luar yang masuk ke negara itu perlu mengisi borang berjela-jela, kalau tidak silap saya 26 set borang. Lihat bagaimana mereka memandang serius penggunaan bahasa kebangsaan pada produk import,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini baru-baru ini.
Beliau mengulas mengenai penggunaan bahasa Melayu yang dipinggirkan oleh kebanyakan produk import yang memasuki pasaran tempatan.
Menurut Nadzim, bukan semua penduduk di negara ini yang boleh memahami bahasa Inggeris, apatah lagi bahasa asing seperti yang terdapat pada kebanyakan produk import di pasaran.
Dengan kekangan memahami bahasa-bahasa tersebut, katanya, hak pengguna mendapatkan maklumat yang cukup mengenai sesuatu barangan dinafikan, sekali gus boleh menyebabkan mereka terjebak dalam amalan palsu yang berkaitan penipuan dan penyelewengan.
Sudah tiba masanya kerajaan mengambil serius mengenai penggunaan bahasa kebangsaan, bukan sahaja pada setiap barangan import, malah juga pada barangan tempatan, perkhidmatan dan pengiklanan.
Setiap barangan luar yang hendak dibawa masuk ke negara ini perlu membuat deklarasi dengan Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM), jika gagal memenuhi undang-undang yang diperuntukkan negara kita, maka kita kena sekat kemasukan barangan itu,” tegasnya.
© Utusan Melayu (M) Bhd