Bagaimanapun, agak pelik jika peranannya beralih kepada sabun kecantikan, mandi dan rawatan kulit.
Rasanya, mungkin tidak ramai wanita atau lelaki sanggup menggunakan susu ibu sematamata untuk mencantikkan kulit.
Beberapa kumpulan usahawan wanita di China cuba mengubah fungsi susu ibu dengan menjualnya untuk dijadikan produk kecantikan.
Penggunaan sabun itu dipercayai boleh menambah seri wajah dan menjadi fenomena di beberapa wilayah China selepas ia diperkenalkan sebagai produk rawatan kulit.
Dijual dalam talian
Produk itu hangat dijual di laman belibelah dalam talian iaitu Taobao. Ia diperkenalkan sebagai satu produk semula jadi yang bertindak menjadikan kulit lebih putih, sihat, licin dan cantik.
Seorang penjual sabun dilaporkan dengan bangganya menunjukkan produk sabun yang dihasilkannya sendiri.
“Lihat saya menghasilkan susu sendiri dan lihat anak di sebelah saya ini,” katanya.
Beliau teruja mempamerkan sabun itu sebagai bukti menggunakan susu badannya sendiri sebagai bahan dalam menghasilkan sabun dan bukan bahan asing yang tidak diketahui puncanya.
Boleh rawat ruam
Sementara itu, sekumpulan penjual sabun memberitahu, mereka mendapat idea menghasilkan sabun susu ibu daripada internet dan dikatakan begitu mudah sehingga teruja untuk mencubanya.
Kejayaan menghasilkan sabun susu ibu menimbulkan hasrat sekumpulan wanita lain untuk membuka perniagaan menjual produk itu.
Susulan khasiat susu ibu yang dikatakan baik untuk pemakanan bayi, sekumpulan wanita itu mendakwa ia penawar baik untuk merawat kulit seperti ruam lampin dan jangkitan mata merah sehingga menjadi daya tarikan untuk pembeli mendapatkan produk ini.
Larangan doktor
Bagaimanapun, doktor menyangkal khasiat seperti didakwa. Ini kerana proses pembuatan sabun menyebabkan nutrisi termusnah.
Ini bermakna khasiat yang tinggal sama saja seperti menggunakan sabun biasa.
Laporan sebuah akhbar di China, Want China Times, memberitahu ulasan doktor mengenai khasiat sabun susu badan adalah tidak sama dengan diperkatakan peniaga di laman internet, selain beberapa pihak memberi amaran supaya tidak meneruskan aktiviti membeli sabun susu badan di internet kerana ia tidak berfungsi sebagai produk kecantikan.
Bagaimanapun, ada yang berpendapat sabun susu ibu boleh mendatangkan mudarat dengan membawa penyakit berjangkit jika susu itu daripada individu yang mengalami masalah kesihatan.
Jangan ghairah
Keghairahan orang ramai untuk kelihatan cantik seharusnya berpadapada dan tidak seharusnya mengenepikan nilai kemanusiaan.
Ketua Aktivis Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM), Datuk Nadzim Johan, berkata kebersihan, keselamatan, jaminan dan kewajaran dihasilkan perlu diambil kira.
Katanya, bagi pengguna Islam, mereka dinasihatkan supaya tidak terlalu terikutikut dengan iklan di pasaran, lebihlebih lagi membabitkan susu ibu.
“Kita juga tidak tahu sama ada pemakaian produk ini mampu memberi kelebihan. Dari segi pengeluarannya adakah ia halal,” katanya.
Beliau berkata, walaupun susu ibu banyak khasiat tetapi proses penghasilan sesuatu produk memerlukan kaji selidik dan kaedah yang sahih sebelum dipasarkan.
“Jika dulu, kita didedahkan dengan penggunaan susu haiwan, hari ini susu manusia pula sedangkan kita tahu ada baik dan buruknya.
“Jadi, saya amat berharap pengguna Islam sepatutnya membuka mata dan menilai apa yang baik dan buruk serta jadilah pengguna bijak,” katanya
Salah guna manfaat
Perunding Teknologi Makumat (IT), Fun Ng berkata, susu ibu sepatutnya untuk bayi, tetapi apabila dijadikan sabun, ia sudah dianggap menyalahgunakan manfaatnya.
“Saya agak geli untuk menggunakannya. Tambah pula proses pembuatannya mungkin tidak berkualiti dan tidak selamat atau boleh dijangkiti penyakit.
“Bagi saya, biarpun penggunaan sabun susu sudah lama diperkenalkan, tetapi keadaannya berbeza. Ini kerana sabun diperbuat daripada susu kambing atau lembu sudah menjalani proses kajian sebelum ia diproses. Kita juga sudah biasa dengan produk berasaskan haiwan ternakan itu.
“Berbeza dengan susu ibu, pelik rasanya apabila mengenangkan susu diminum ketika bayi diletakkan pada wajah dengan baunya yang agak kuat,” katanya.
Perlu berhati-hati
Sementara itu, pekerja swasta, Nor Haiza Abdul Malik, berkata jika diberi pilihan beliau tidak berminat untuk menggunakan sabun itu kerana rasa janggal dan meragukan.
Katanya, kemajuan sains dan teknologi memang menggalakkan orang ramai kreatif dan inovatif dari segi penciptaan produk, tetapi biarlah ia sesuai pada penggunaannya.
“Saya fikir kita perlu berhatihati memilih kaedah penjagaan kecantikan, jangan melulu tanpa fikirkan sebarang logik atau kesannya kemudian hari.
“Sepatutnya susu ibu digunakan sebaiknya untuk manfaat anak dan tidak seharusnya dikomersialkan bagi tujuan tertentu,” katanya.
Khasiat susu ibu
1. Mempunyai kandungan protein yang tinggi, kaya vitamin, karbohidrat dan lemak yang berperanan dalam perkembangan otak, retina dan sistem saraf bayi.
2. Mengandungi imunoglobulin iaitu antibodi yang penting terhadap imun badan bayi.
3. Kandungan susu ibu sentiasa berubah mengikut keperluan bayi, contohnya, kandungan protein dalam susu akan lebih banyak jika bayi yang lahir tidak cukup bulan.
4. Dikatakan sesuai dijadikan sabun kerana ia mempunyai sifat melembap yang baik untuk kulit.