Peribadi Rajaah Musa, 61, mesra membuatkan perbualan antara penulis dengannya bertambah rancak. Bermula ingin bertanyakan mengenai perkembangan anak perempuan, Nursharafidah Mohd Jawi,28, meleret kepada cerita mengenai anak serta menantunya yang lain.
Menarik mengenai kisah hidupnya tanpa disedari penulis ialah, dia bukan saja menjaga enam orang anak tetapi mempunyai 12 belas anak semuanya apabila me-ngahwini duda enam anak iaitu suaminya, Mohd Jawi Bidin.
Ketika itu dia serta suami, hanya menyara keluarga dengan kerja sebagai penoreh getah. Katanya meskipun hidup dalam serba kekura-ngan, itu tidak pernah menghalang dia serta suami memastikan anak mendapat pelajaran sempurna.
“Kalau kenangkan hidup dulu dengan arwah suami menjaga seramai 12 orang menerusi hasil menoreh getah memang tidak cukup. Bayangkan pada usia 23 tahun saya mengahwini suami yang juga duda enam anak selepas kematian isterinya, Zaleha Itam Mat, 27 tahun ketika itu.
Foto
RAJAAH (duduk tiga dari kiri) bersama 12 anaknya.
“Dua anak tiri dijaga oleh abang serta adik suami sementara saya kemudian memperoleh enam anak terus menjaga empat anak tiri lain. Ketika itu harga getah hanya 70 sen sekilogram dan berapa sangatlah pendapatan dapat menampung kami semua.
“Mujurlah tinggal di kampung, kami usahakan bendang sendiri, ambil upah tambahan menoreh kebun orang serta menanam sayur kampung sebagai menampung perut sekeluarga. Tetapi satu sifat suami iaitu begitu pentingkan pelajaran membuatkan anak-anak tidak pernah tercicir,” katanya.
Menurut Rajaah, hidup dia serta suami ibarat‚ ‘kais pagi makan pagi, kais petang makan petang’, namun untuk pelajaran anak-anak tiada kompromi.
“Suami saya melihat hanya dengan pelajaran anak-anak tidak akan hidup susah seperti dia. Biarlah terpaksa ‘tebalkan muka‚ berhutang dengan saudara demi duit sekolah anak tetapi buku sekolah serta keperluan anak lengkap.
“Malah anak-anak memahami, langsung tidak merungut apabila mereka hanya ada sepasang baju sekolah dan kasut sepanjang tahun. Buku mahupun alat tulis dikongsi asalkan boleh pergi sekolah. Selain itu, dia aktif dalam persatuan ibu bapa dan guru membuatkan dia boleh memantau perkembangan pelajaran anak secara langsung.
“Biarpun miskin dan mungkin tidak memahami apa yang diajar guru di sekolah tetapi dia akan pastikan anak-anak cemerlang. Sifat arwah yang garang dan tegas cukup digeruni anak-anak namun itu adalah memastikan anak berusaha mendapat keputusan cemerlang.
“Alhamdulillah rasanya usaha arwah berbaloi apabila lapan dari 12 anak berjaya masuk universiti. Boleh dikatakan rezeki apabila hampir kesemuanya menerima tajaan biasiswa. Tiga mendapat tajaan belajar di luar negara iaitu Melbourne dan Adelaide, Australia serta Ohio, Amerika Syarikat oleh Jabatan Perkhidmatan Awam.
“Rasanya apabila semuanya mempunyai kerjaya baik dan memegang jawatan tinggi dalam bidang masing-masing. Arwah berpuas hati sebab anaknya tidak mengikut jejak langkah hidupnya. Semua adalah kesedaran arwah mengenai pentingnya ilmu selain sifat memahami serta toleransi anak terhadap kami selaku orang tua serba kekurangan,” katanya.
Sementara itu, anak kelapan, Zamzairi Mohd Jawi, kini bertugas sebagai Ketua Pegawai Akuakultur, Atlantys Aqualife Sdn Bhd sempat ditemubual menerusi panggilan telefon mengakui kehidupan susah ketika kecil mematangkan dia serta saudara lain mengenai kepentingan pelajaran.
Katanya, meskipun ibu bapanya hanya penoreh getah namun kesedaran kedua orang tua mengenai kepentingan pelajaran membuat-kan dia dan adiknya mampu keluar dari kepompong kemiskinan.
“Sebenarnya apa yang mendorong kami adik beradik adalah ‘suasana susah‚. Sumber kewangan sangat terhad maklumlah pendapatan purata orang tua sekadar RM300 sebulan.
“Jadi, adalah menjadi kebiasaan bagi kami, baju dan buku rujukan akan dikongsi dan diwarisi daripada yang sulung hingga ke bongsu. Saya juga masih ingat, bapa saya hanya mampu berbasikal sehingga usia beliau 56 tahun.
“Namun dia tidak malu untuk menonjol baik di majlis sekolah, hari ibu bapa mahupun sebarang program membabitkan pencapaian akademik anak dia akan hadir.
“Dia aktif dalam PIBG sekolah dan pembabitan adalah di semua peringkat iaitu sekolah rendah hingga ke menengah. Dengan cara ini dia mengenali guru kami
serta memantau prestasi pelajaran kami.
“Bagi saya dilahirkan dalam keadaan senang atau susah, di kampung atau bandar, yang penting kita tahu ke mana arah tuju kita dalam hidup. Sentiasa berusaha ke arah itu dalam apa juga keadaan menjadikan individu itu berjaya,” katanya yang pernah menjalani latihan praktikal di Jepun sebaik memperoleh keputusan cemerlang ketika menuntut di Universiti Malaysia Sabah dalam bidang Akuakultur.