1895) RAKYAT NEWS 9/05/2014 – MBSB TERIMA ANUGERAH PERBANKAN KAMBING HITAM
10 May 2014
KUALA LUMPUR 9 Mei – Malaysia Building Society Berhad (MBSB) dianugerahkan perbankan kambing hitam oleh Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM) selepas melelong dan menjual harta pengguna dengan tidak mengikut tatacara yang ditetapkan institusi kewangan.
Ketua aktivis PPIM, Datuk Nadzim Johan berkata MBSB merupakan badan kewangan yang mempunyai masalah memandangkan badan kewangan tersebut langsung tidak boleh menjalankan rundingan ketika pengguna menghadapi masalah.
“Kami mendapat rintangan daripada pihak MBSB ketika mahu membincang mengenai polisi mereka bagi bersama-sama mencari cara menyelesaikan masalah pengguna yang lewat bayar.
“Yang kita gusar adalah hari ini ramai pengguna terkesan dengan tindakan MBSB yang dilihat tidak berlaku adil dan tidak mempunyai sifat kemanusiaan,” katanya kepada pemberita ketika membuat sidang media di sini, hari ini.
Diantara masalah yang dibangkitkan pada hari ini termasuklah masalah pengguna yang hanya dikenali sebagai Faridah apabila kenyataan akaun dan kira-kira yang dimintanya tiga tahun lalu hanya dibalas oleh pihak MBSB pada 18 April 2014.
Disamping itu, pengguna yang dikenali sebagai Satesh menerima musibah apabila MBSB melelong rumah yang didudukinya tanpa sebarang notis ekoran lewat menjelaskan tunggakan ansuran pinjaman perumahannya selama satu setengah bulan.
Manakala, Aktivis PPIM, Mohd Mustaffa Hamzah berkata MBSB tidak mengikut tatacara yang sepatutnya apabila PPIM menerima pelbagai aduan berhubung keburukan untuk berurusan bersama badan kewangan tersebut.
“Banyak kita menerima aduan daripada pengguna dan kebanyakkannya daripada pengguna ini dibuli dengan sewenang-wenangnya dengan MBSB.
“Ramai dikalangan pengguna yang dapat kemudahan daripada MBSB yang telah dimufliskan tanpa mengikut prosidur yang sepatutnya MBSB jalankan,” katanya lagi.
Post Views: 308