Ketua Aktivis Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM) Datuk Nadzim Johan berkata, keinginan untuk cantik mengatasi rasional pemikiran mengakibatkan ramai pengguna sanggup mengambil risiko menerusi pemakaian produk kecantikan tidak diiktiraf.
“Sepanjang tahun lalu saja, kami menerima 40 aduan berkaitan produk kecantikan tidak berkesan atau memudaratkan pengguna.
“Kebanyakan mereka berusia antara 20 dan 40 tahun tampil membuat aduan selepas mengalami kesan kemudaratan seperti kulit terbakar, lebam, kusam dan tidak memiliki bentuk badan menggiurkan selepas mengambil produk kecantikan yang tidak diketahui kelulusannya,” katanya.
Beliau mengulas muka depan Metro Ahad, semalam, berkaitan kegiatan penjualan hormon estrogen untuk kecantikan tubuh badan tanpa perlu melakukan pembedahan di laman sosial yang semakin mendapat perhatian pengguna terutama wanita.
Menurut Nadzim, kegiatan berkenaan sukar dibendung walaupun kerajaan kerap melakukan pemantauan berikutan pengguna masih terlalu ghairah mahukan kecantikan segera tanpa memikirkan risikonya.
“Nasihat saya, pengguna harus bijak menggunakan kuasa sebagai pembeli.
“Lakukan semakan sama ada ia mendapat kelulusan daripada pihak berkaitan seperti Kementerian Kesihatan untuk keselamatan penggunaannya serta Jabatan Kemajuan Islam Malaysia bagi menentukan status halal.
“Bagi mereka yang sudah termakan tipu daya, diharap segera tampil membuat laporan polis dan aduan di mana-mana agensi pengaduan.
“Langkah ini penting kerana keengganan mereka tampil ke depan menyukarkan lagi pihak kerajaan dan berkaitan membuat mekanisme penyelesaian terbaik dan tindakan susulan,” katanya.