Logo
PERSATUAN PENGGUNA ISLAM MALAYSIA
70X, Jalan Keramat Hujung, 54000 Kuala Lumpur
Email : salam@ppim.org.my
Hotline : +6019-359 1000
Tel : +603-4257 7222 / +603-4256 6618
IKUTI KAMI DI :
1903) NIB 15/5/2014 METRO HARIAN – DIKELENTONG ‘LOYAR BURUK’
15 May 2014

Headline: Dikelentong ‘loyar buruk’
Publication: HM
Date of publication: May 15, 2014
Section heading: Main Section
Page number: 007
Byline / Author: Oleh Suraya Roslan; Yusmizal Dolah Aling

Kuala Lumpur: Kegembiraan ayah kepada seorang dramatis selepas berjaya memiliki rumah yang menjadi rebutan antara dia dan anak perempuannya itu tidak kekal lama apabila dia ditipu peguam yang menguruskan penjualan rumah berkenaan.

Warga emas itu yang mahu yang mahu dikenali sebagai Razif, 70-an, berkata, berikutan penipuan itu dia bukan saja kerugian hampir RM500,000, malah kini hanya tinggal menumpang di sebuah bilik bersama isteri sejak tiga tahun lalu.

“Saya impikan kehidupan lebih tenang bersama isteri, namun tindakan peguam wanita itu menyebabkan kami terpaksa hidup serba kekurangan.

“Apabila saya membawa perkara ini kepada pihak atasan baru saya tahu rupa-rupanya peguam itu disenaraihitamkan Lembaga Tatatertib Peguam-Peguam berikutan terbabit dalam beberapa kes penipuan sebelum ini,” katanya.

Razif berkata, sebelum ini dia bersama isteri yang berniat memulakan kehidupan di kediaman baru melantik peguam berkenaan untuk menguruskan urusan jual rumah akhir tahun lalu.

Bagaimanapun, mereka terpaksa berputih mata apabila peguam berkenaan tidak menyerahkan wang jualan yang diterima daripada pembeli.

Menurutnya, dia dihubungi pegawai bank memaklumkan duit dipindahkan menerusi cek atas nama peguam berkenaan dan segala urusan jualan dianggap selesai selain perlu mengosongkan rumah kepada pemilik baru.

“Saya terus ke pejabat peguam itu di Wangsa Maju, malangnya dia tiada di situ dan premis berkenaan seolah-olah tidak beroperasi lagi.

“Tidak puas hati dengan apa yang berlaku, saya bergegas ke Majlis Peguam dan memeriksa status peguam itu. Terkejut apabila dimaklumkan lesen dia sebenarnya digantung sebagai peguam cara,” katanya yang membuat aduan kepada Ketua Aktivis Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM) Datuk Nadzim Johan, semalam.

Razif berkata, dia berpatah balik ke pejabat peguam berkenaan untuk mendapatkan cek atas namanya, namun kakitangan di situ memaklumkan hanya peguam terbabit yang boleh menandatangani sebarang dokumen.

Diselubungi rasa tidak sedap hati, dia berkali-kali menelefon peguam itu, namun tidak berjawab serta SMS juga tidak dibalas menyebabkan dia rasa ditipu, sebelum membuat laporan di Balai Polis Ampang berhubung kejadian.

“Saya hanya mahu wang dikembalikan supaya boleh meneruskan hidup dan membeli rumah lain. Tidak tahu berapa lama lagi saya boleh hidup dan harapan saya dapat memiliki rumah yang selesa untuk beribadat sebelum ajal menjemput tiba.

“Tak sangka dia sanggup menipu kami sehingga terpaksa menagih simpati daripada saudara mara yang membenarkan kami menumpang rumah mereka buat sementara,” katanya.

Nadzim berkata, pihaknya akan merujuk kes berkenaan kepada Ketua Polis Negara Tan Sri Khalid Abu Bakar untuk tindakan susulan bagi membolehkan Razif mendapat pembelaan sewajarnya.

“Pada peringkat ini, kami akan cuba bantu dia menggunakan saluran sedia ada bagi mendapatkan semula wang terbabit. Kita kesal dengan apa yang berlaku dan meminta orang ramai berhati-hati apabila berurusan dengan pihak lain terutama membabitkan jumlah wang yang besar,” katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Wangsa Maju, Superintendan Nor Azman Muhamad Yusuf mengesahkan pihaknya sudah menerima laporan berhubung kejadian itu.