Ramkarpal berkata, pendirian politik beliau adalah membawa agenda mendiang bapanya, Karpal Singh yang keras menolak pelaksanaan hukum hudud dan konsep negara Islam.
“Pendirian (hukum hudud) saya adalah jelas dan sama seperti apa yang sering diperjuangkan DAP dan saya sama sekali tidak akan berganjak dengan pendirian itu.
“Tiada apa yang akan berubah dan kita konsisten dengan pendirian terbabit,” katanya pada sidang media di sini, semalam.
Hadir sama abangnya, Jagdeep Singh Deo yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Datuk Keramat.
Pada 12 Mei lalu, Timbalan Presiden PAS Mohamad Sabu menyuarakan sokongan terhadap DAP untuk meletakkan calon pada PRK Parlimen Bukit Gelugor walaupun seorang ahli PAS Mohamed Nabi Bux Mohd Nabi Abdul Sathar bertanding bagi memperjuangkan cita-cita hudud PAS.
Sementara itu, mengulas mengenai penyebaran poster di Internet yang mendakwa beliau menyokong pelaksanaan hudud di Pulau Pinang pada 2020, Ramkarpal berkata, beliau tiada kaitan dengan poster itu.
“Saya tiada kaitan dengan poster itu dan seperti yang saya katakan tadi bahawa pendirian saya adalah sama dengan DAP dan berharap penyebaran poster itu dihentikan,” katanya.
Katanya, beliau dimaklumkan Jagdeep bahawa penggunaan logo kerajaan negeri pada poster itu juga tidak mendapat kebenaran pihak berkuasa Pulau Pinang dan satu laporan akan dibuat supaya tindakan susulan diambil.