1941) themalaysianinsider 27/05/2014 – Persatuan pengguna mahu kilang Cadbury disita, produk diboikot
28 May 2014
Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM) mahukan kilang Cadbury disita dan pengguna memboikot produknya susulan penemuan DNA khinzir dalam keluaran syarikat itu baru-baru ini.
Ketua Aktivis PPIM Datuk Nadzim Johan (gambar), berkata kilang tersebut seharusnya disita apabila tiada langsung permohonan maaf yang diusulkan dan pihak berkuasa seharusnya bertegas dalam hal ini.
“Kilang itu patut disita dan dihentikan pengeluaran produknya kerana setelah penemuan ini, tiada permohonan maaf ataupun rasa kesal yang timbul dari pihak Cadbury.
Nadzim berkata, sudah tiba masanya untuk para pengguna menggerakkan kuasa membantah secara tegas dengan memboikot semua produk syarikat itu dan menjadikan isu sebegini sebagai satu pengajaran dan pengalaman kepada seluruh rakyat untuk bersatu menentang ketidakadilan.”Mengikut Akta makanan, pihak berkuasa ada hak untuk menyita kilang terbabit kerana gagal memenuhi kriteria ditetapkan,” katanya dalam sidang media “Cadbury Perlu Dihukum Pengguna” di Villa Puteri Condominium, hari ini.
Nadzim juga meminta kerajaan bertegas dalam menguatkuasakan penggunaan logo halal kepada semua pengusaha dengan mengadakan ujian berkala setiap dua bulan sekali bagi memastikan kandungan setiap produk halal.
Pada 24 Mei, Kementerian Kesihatan mengesan dua sampel coklat Cadbury iaitu Coklat Susu dengan Kacang Hazel (Cadbury Dairy Milk Hazelnut) dan Coklat Susu dengan Buah Badam (Cadbury Dairy Milk Roast Almond) mengandungi DNA khinzir.
Susulan itu, Jabatan Kemajuan Islam Malaysia menggantung serta-merta sijil halal dua produk coklat tersebut serta menjalankan siasatannya sendiri. – Bernama, 27 Mei, 2014.
Post Views: 143