Sesiapa berhak dakwa Cadbury jika ada bukti
KUALA LUMPUR: Menteri di Jabatan Perdana Menteri Nancy Shukri menjelaskan bahawa masing-masing mempunyai hak untuk mengambil tindakan terhadap Syarikat Pengeluar Cadbury.
Katanya, hal ini kerana perkara ini dikaitkan dengan agama.
” Kita perlu kaji sama ada perlu gunakan undang- undang dari mahkamah syariah ataupun undang-undang sivil,” katanya dalam satu temubual di Wisma Bernama.
Jelasnya lagi, pihak yang ingin mengambil tindakan sama juga harus mengkaji dari sudut mana kesalahan-kesalahan tersebut.
“Bagi pihak yang berniat ingin saman, kita perlukan bukti-bukti yang kukuh sebelum saman,” katanya.
Adalah lebih mudah sekiranya syarikat tersebut mengakuinya. Hal ini memudahkan tindakan dapat diambil.
“Kita dapat melihat sama ada mereka yang cuai atau sebaliknya,” jelasnya.
Manakala dari segi keagamaan ia perlu dikaji dengan lebih mendalam.
“Dari segi keagamaan, pihak-pihak tersebut perlu melakukan kajian yang lebih terperinci dan mendalam berkenaan perkara ini,” katanya.