KUALA LUMPUR 27 Mei – Para pengguna diminta supaya memboikot produk keluaran Cadbury sehingga kilang syarikat berkenaan berjaya ditutup atau dilumpuhkan operasinya.
Ketua Aktivis Persatuan Pengguna Islam (PPIM) Datuk Nadzim Johan berkata, ia harus digerakkan segera bagi menunjukkan kuasa pengguna yang diperdaya.
“Bukan boikot dua produk sahaja tetapi semua. Ini adalah supaya tiada lagi syarikat yang berani menganiaya pengguna. Kami dalam NGO ini akan pastikan kilang itu ditutup, jadikan ia sebagai satu sejarah, biar (Cadbury) lupus dalam pasaran dunia.
“Inilah masa untuk pengguna menggunakan kuasa untuk menggerakkan (boikot). Biar kita digeruni dan dihormati,” katanya kepada pemberita dalam sidang media di sini hari ini.
Antara NGO Islam yang bergabung mendokong usaha ini selain PPIM, Pertubuhan Kebajikan Darul Islah (PERKID), Pertubuhan Usahawan Halal Muslim, Pertubuhan Pribumi Perkasa (PERKASA), Pertubuhan Permuafakatan Majlis Ayahanda (PERMAS), Ikatan Muslimin (ISMA), Martabat Jalinan Muhibbah (MJMM), Persatuan Penerbit Al-Quran dan Saba Islamic Media.
Dalam masa sama, Nadzim menegaskan, akta baru khas untuk produk halal patut diperkenalkan kerana berpendapat akta yang sedia ada tidak cukup kukuh bagi melindungi para pengguna terutamanya yang beragama Islam.
“Kekangan kita, Jabatan Kemajuan Islam (JAKIM) tiada akta yang kuat, hanya ada Akta Makanan dan Akta Perihal Perdagangan. Kerajaan harus ambil tindakan serius dalam hal ini,” tegas beliau.
Sebelum ini, Kementerian Kesihatan telah mengesahkan dua sampel coklat keluaran syarikat Cadbury Confectionery Malaysia Sdn Bhd iaitu Cadbury Dairy Milk Hazelnut (dengan nombor kelompok 200813M01H I2 yang luput pada 13 November 2014) dan Cadbury Dairy Milk Roast Almond (dengan nombor kelompok 221013N01R I1 yang luput pada 15 Januari 2015) mengandungi DNA babi.
Pihak Cadbury telah menarik balik kedua-dua produk tersebut dari pasaran berkuatkuasa serta-merta.