Logo
PERSATUAN PENGGUNA ISLAM MALAYSIA
70X, Jalan Keramat Hujung, 54000 Kuala Lumpur
Email : salam@ppim.org.my
Hotline : +6019-359 1000
Tel : +603-4257 7222 / +603-4256 6618
IKUTI KAMI DI :
MUDAH SANGAT DAPAT SENJATA – HARIAN METRO – 8/3/18
08 Mar 2018

Metro ( mudah sgt dpt senjata ) 8.3.18

 

Lambakan senjata diiklan di media sosial undang kebimbangan “Kami difahamkan, setakat ini tiada akta khusus berhubung isu ini. Mungkin garis panduan saja sudah memadai iaitu pembeli perlu mendaftarkan golok atau pisau yang boleh dijadikan rujukan jika ada kes berkaitan”

Lihat, tempah dan dapat. Semudah itu menempah pelbagai jenis senjata tajam menerusi belian dalam talian sehingga mengundang kebimbangan ia digunakan untuk melakukan jenayah.

Nama seperti Butterfly Knife, Recurve Compact Fighter, Wali Jantan dan Bilah Tumbuk Lada antara peralatan terlaris yang mempunyai permintaan tinggi di pasaran serta boleh didapati dengan mudah, namun timbul isu keselamatan apabila ada sebahagiannya tidak sesuai digunakan dalam kerja seharian.

Ketua Aktivis Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM) Datuk Nadzim Johan berkata, pihaknya menerima maklumat daripada masyarakat yang gusar dengan lambakan senjata itu seperti diiklankan di media sosial kerana ia boleh menyumbang kepada pelakuan jenayah menggunakan alat terbabit.

Katanya, hasil pemantauan PPIM mendapati, terdapat lebih 20 akaun Facebook menawarkan pelbagai jenis pisau sama ada yang sudah siap untuk dijual atau pun boleh ditempah khas mengikut kemahuan pembeli.

“Kami bimbang ia digunakan untuk tujuan tidak sepatutnya. Ada yang menjadikan perkakasan senjata ini sebagai koleksi peribadi, ada yang menempah golok untuk kerja penyembelihan, tetapi sesetengahnya mengundang rasa takut kerana ia sering digunakan kumpulan penjenayah atau kongsi gelap.

“Timbul persoalan untuk apa senjata seperti pedang samurai, kerambit bercorak ini disimpan. Kenapa pula ia sangat mudah dibeli dan bagaimana pula tahap keselamatan penyediaan perkhidmatan untuk setiap barangan yang dipos kepada pelanggan,” katanya kepada Harian Metro.

Wartawan cuba membeli kerambit daripada seorang pembuat dan pisau di Lembah Klang menerusi Facebook yang ditawarkan pada harga RM260 sebilah, selepas tiga hari, barangan dipesan menggunakan nama samaran diterima.

Terbukti, tempahan menerusi nombor tertera di Facebook tidak perlu melalui proses yang sukar malah ketika barang dituntut, pembeli hanya perlu menulis nama serta menandatangani dokumen serahan tanpa perlu pemeriksaan lanjut.

Nadzim berkata, PPIM juga mahu pihak berwajib mengeluarkan garis panduan khusus kepada pembuat golok di negara ini bagi memastikan perkakas yang dihasilkan tidak digunakan untuk kegiatan salah dari segi undang-undang.

“Kami difahamkan, setakat ini tiada akta khusus berhubung isu ini. Mungkin garis panduan saja sudah memadai iaitu pembeli perlu mendaftarkan golok atau pisau yang boleh dijadikan rujukan jika ada kes berkaitan.

“Jika tidak, sesiapa saja bebas membeli dan memiliki barangan ini atas nama hobi, tetapi sangat berisiko untuk kegiatan jenayah. Kalau senjata api perlu dilesenkan, saya kira serupa juga dengan senjata tajam ini kerana ia juga berbahaya.

“Saya ingin jelaskan, kami bukanlah hendak mengganggu perniagaan orang, kalau yang baik, kami pun menyokong. Tetapi perlu dilakukan dengan sebaik mungkin supaya tidak mengundang bahaya lain,” katanya.

Artikel Oleh : Harian Metro