KUALA LUMPUR 27 Jun – Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM) hari ini meminta supaya semua pengguna khususnya dari jabatan kerajaan, syarikat berkaitan kerajaan dan juga badan-badan swasta agar tidak mengadakan majlis berbuka puasa di hotel-hotel yang tidak dapat dipastikan status pensijilan halalnya.
Menurut Ketua Biro Penyiasatan dan Pembangunan Insan PPIM Sheikh Abd Kareem S. Khadaied, jika ada pengguna yang ingkar dengan saranan yang telah diberikan itu maka ia menunjukkan seolah-olah golongan tersebut setuju dengan tindakan pihak pengurusan hotel yang gagal mendapatkan sijil halal dari Jabatan Agama Islam Malaysia (JAKIM).
“Jika mereka pergi ke hotel-hotel yang tiada pensijilan halal, ini bermakna mereka menyokong perbuatan tersebut yang mengatakan bahawa status halal itu adalah tidak penting.
“Malah, para pengusaha hotel dan restoran yang tidak mempunyai sijil halal ini juga menjadi semakin tidak menghormati para pengguna Islam, khususnya,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita dalam satu sidang media yang diadakan di Ibu Pejabat PPIM, Villa Puteri, Jalan Tun Ismail di sini hari ini.
Jelas Abd Kareem, PPIM turut meminta agar agensi-agensi yang terlibat untuk mengenakan tindakan terhadap pengusaha hotel dan restoran yang gagal medapatkan pensijilan halal dari JAKIM namun masih tegar membuat promosi buffet menjelang Ramadhan ini.
“Dari sudut pengguna, kita ingin melihat tindakan kuatkuasa oleh agensi-agensi berkaitan kerana perkara ini telah melanggar undang-undang secara terang-terangan.
“Mereka (pengusaha hotel dan restoran) telahpun membuat pelbagai iklan dan promosi, sedangkan mereka tidak mempunyai pensijilan halal yang sah,” ujarnya.
Tambah beliau, pengusaha hotel dan restoran yang menawarkan perkhidmatan buffet sempena Ramadhan sepatutnya bersikap lebih menghormati pengguna Islam dan perkara tersebut haruslah ditangani tanpa menyentuh sensitiviti perkauman dan juga keagamaan.