2035) UTUSAN MALAYSIA 4/7/2014 – PBT jangan lepas tangan – PPIM
04 Jul 2014
PBT jangan lepas tangan – PPIM
KUALA LUMPUR 3 Julai – Pihak berkuasa tempatan (PBT) digesa supaya mengambil tindakan tegas terhadap mana-mana premis yang menjalankan perniagaan mesin judi haram agar kegiatan itu dapat diperangi secara menyeluruh.
Ketua Aktivis Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM), Datuk Nadzim Johan berkata, sebagai contoh, jika PBT mempunyai undang-undang bagi kesalahan seperti mengubah suai kediaman, mereka juga boleh mengambil tindakan ke atas peniaga yang menjalankan kegiatan haram.
“Kesemua pengusaha ini mempunyai lesen perniagaan, jika tidak bagaimana mereka boleh beroperasi. Jadi, mengapa tiada sebarang tindakan undang-undang daripada PBT. Jangan lepaskan tanggungjawab yang diberikan kepada mereka begitu sahaja. Ambil tindakan sewajarnya jika premis-premis ini menjalankan kegiatan haram yang dilihat semakin merosakkan masyarakat,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini hari ini.
Sebelum ini, Utusan Malaysia mendedahkan kegiatan judi haram yang semakin berleluasa dengan hampir semua daerah mempunyai premis mesin judi dan setiap satu premis mempunyai tidak kurang 30 buah mesin.
Bagaimanapun, pendedahan yang dilakukan sejak Ahad lalu mengenai ancaman mesin judi haram itu seperti tidak mendatangkan sebarang kesan apabila pengusaha kegiatan haram itu didapati terus beroperasi seperti biasa seolah-olah kebal dan tidak mampu dihalang lagi.
Dalam pada itu, Nadzim berkata, tanggungjawab membanteras gejala mesin judi haram yang semakin membimbangkan sejak kebelakangan ini perlu melibatkan kerjasama semua pihak agar kegiatan itu dapat diperangi secara menyeluruh.
Katanya, PPIM mengakui adalah menjadi tanggungjawab agensi penguat kuasa dalam membanteras kegiatan tersebut, tetapi masyarakat juga perlu melihat isu ini secara individu.
“Masyarakat seperti ibu bapa dan persatuan penduduk perlu memainkan peranan dalam memastikan gejala ketagih bermain mesin judi yang semakin menular dalam kalangan masyarakat dapat dibendung.
“Sudah tiba masanya masyarakat menjalankan tanggungjawab bersama dengan agensi penguat kuasa dan kita percaya dengan kerjasama ini dapat membantu menyelesaikan kegiatan ini,” katanya.
Post Views: 179