KUALA LUMPUR (Bernama) — Hanya tinggal beberapa hari sahaja lagi umat Islam akan berada dalam bulan Ramadan, bulan yang mulia lagi berkat, sekali gus memberi peluang untuk meningkatkan keimanan dan ketaqwaan kepada Allah S.W.T.
Ramadan bukan hanya menjadi medan bagi setiap Muslim untuk melipatgandakan ibadat mereka, malah memberi peluang kepada umat Islam melakukan amal kebajikan kepada insan yang memerlukan.
Selain menahan diri dari lapar dan dahaga, umat Islam diharap dapat menginsafi kesusahan hidup yang ditanggung golongan kurang bernasib termasuk daripada segi kecukupan makanan dan minuman.
RAMADAN BUKAN PESTA BAZAR
Namun, di sepanjang bulan penuh kemuliaan ini mungkin ada antara mereka lupa akan pengertian Ramadan, sehinggakan ia dilihat menjadi seakan satu bulan pesta menjual dan membeli-belah, juga pesta makanan.
Bazar-bazar menjual pelbagai juadah dan hidangan makanan wujud melata. Hotel-hotel dan restoran pula bagaikan berlumba-lumba menawarkan bufet Ramadan dengan senarai menu makanan yang berjela-jela panjangnya, dan harganya pula tidak murah.
Pensyarah kanan Jabatan Pengajian Al-Quran dan Al-Sunnah, Fakulti Pengajian Islam, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) Dr Fadlan Mohd Othman berkata sewajarnya bulan Ramadan dimanfaatkan untuk memperbaiki diri ke arah yang lebih baik.
“Umat Islam perlu tanamkan dalam minda mereka bahawa Ramadan adalah bulan untuk melaksanakan amal ibadat dan mendekatkan diri kepada Allah S.W.T.
“Segala amal ibadat misalnya solat tarawih yang dilakukan hendaklah dilaksanakan bukan kerana paksaan atau terikut-ikut dengan orang di sekeliling justeru keikhlasan dari hati adalah penting,” katanya.
Mengulas lanjut, Fadlan yang juga Pengerusi Pertubuhan Ilmuan Malaysia (Ilmu) berkata Ramadan merupakan bulan sangat istimewa dalam kalendar Islam yang memberi kelebihan kepada umat Islam untuk beribadat siang dan malam.
Sambil menyifatkan bulan Ramadan adalah pesta beribadat, Fadlan berkata Ramadan bukan hanya menahan diri daripada makan dan minum tetapi yang paling penting mengawal hawa nafsu.
“Ramadan bukannya pesta bazar. Sebarang bentuk pembaziran mesti dielakkan semasa di bulan puasa kerana perkara itu berlaku disebabkan kegagalan diri mengawal hawa nafsu,” katanya.
RANCANG PERBELANJAAN
Sementara itu, Ketua Aktivis Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM) Datuk Nadzim Johan berkata Ramadan perlu dijadikan bulan untuk mendisiplin diri serta mengamalkan gaya hidup sihat.
“Bulan puasa mendidik kita untuk berbelanja secara bersederhana, berjimat cermat dan menghargai apa yang ada. Contohnya, jika sebelum ini waktu makan kita iaitu pagi, petang dan malam tetapi ketika Ramadan kita hanya makan pada waktu berbuka dan sahur,” katanya.
Dalam masa sama, beliau tidak menafikan amalan berbuka puasa di luar sudah menjadi kelaziman khususnya bagi mereka yang bekerja dan tidak mempunyai masa untuk berbuka puasa di rumah.
“Tiada salahnya untuk berbuka di luar tetapi perlu melihat kepada kemampuan berbelanja pada diri masing-masing.
“Akan tetapi jika kita berbuka puasa di restoran atau kedai-kedai makan, aspek kebersihan tidak dijamin 100 peratus kerana berkemungkinan makanan atau minuman tersebut sudah tercemar,” katanya
Justeru Nadzim, menasihatkan orang ramai agar merancang perbelanjaan secara konsisten dengan tidak berbelanja mengikut hawa nafsu merupakan langkah terbaik untuk mengelak pembaziran di bulan Ramadan.
— BERNAMA