2115) ARKIB BERITA PPIM – 29/8/2014 HARIAN METRO – Antara Simpati, Curiga Tabung Gaza
17 Oct 2014
Antara simpati, curiga tabung Gaza
Kesengsaraan
penduduk Gaza yang saban hari berdepan kekejaman tentera Israel mendapat
perhatian pelbagai pihak di seluruh dunia dan tidak terkecuali masyarakat
negara ini.
Pelbagai
bentuk tabung bantuan dizahirkan dalam membantu mangsa seagama yang saban hari
berdepan bedilan dan serangan roket tentera Zionis.
Namun, timbul persoalan adakah sumbangan yang diberikan itu benar-benar sampai
kepada penduduk Gaza atau sebaliknya.
Jika betul, Alhamdulillah mulianya hati seseorang itu kerana ringan tulang
membantu umat seagama yang ditindas.
Bagaimana pula jika wang didermakan atas dasar perikemanusiaan untuk membantu
penduduk Gaza disalahgunakan untuk kepentingan peribadi individu yang melakukan
kutipan itu. Amat menyedihkan jika perkara itu berlaku kerana mengambil
kesempatan dengan kesengsaraan penduduk Gaza sebagai modus operandi meraih duit
mudah.
Tidak dinafikan sumbangan atas nama bantuan untuk penduduk Gaza itu mendapat simpati
rakyat negara ini yang saban hari melihat penderitaan mereka di media cetak dan
elektronik.
Kesempatan
mungkin diambil berikutan kemurahan hati penduduk negara ini yang menzahirkan
belas ihsan kepada penduduk Gaza melalui derma dihulurkan dengan harapan ia
benar-benar sampai pada mereka.
Biasanya pungutan yang agak meragukan itu dilakukan di pasar serta bazar ketika
Ramadan lalu selain lokasi tumpuan ramai. Kaedah digunakan dengan meletakkan
tabung bencana selain melakukan kutipan.
Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM) turut mengesan kewujudan
tabung Gaza yang tidak diketahui ke mana wang itu disalurkan. Malah, PPIM mengakui
menerima aduan daripada orang ramai mengenai kecurigaan mereka terhadap
kewujudan banyak tabung Gaza.
Berdasarkan aduan, ada pihak dan individu tertentu meletakkan kotak atau tabung
derma Gaza sama ada di masjid, pasar dan bazar Ramadan yang menjadi tumpuan
ramai. Mereka ini akan datang memungut wang di dalam tabung mengikut tempoh
tertentu. Apa yang menjadi persoalan ke manakah wang itu disalurkan, adakah ia
benar-benar untuk tabung Gaza atau sebaliknya.
Bagi orang ramai, mereka boleh menyelidik sama ada tabung itu memang
benar-benar sah sebelum menghulurkan bantuan kerana tidak mahu wang berkenaan
disalahgunakan untuk kepentingan pihak atau individu tertentu.
Ini penting bagi mengelakkan ada pihak lain yang mengambil kesempatan
menggunakan nama penderitaan rakyat Gaza bagi memperoleh wang mudah untuk
kegunaan sendiri.
Penulis memuji sikap mereka yang berniat baik memungut derma untuk membantu
penduduk Gaza, namun agak menyedihkan jika ada di antara mereka menggunakan
nama tabung Gaza untuk kepentingan sendiri.
Sikap itu perlu dikikis dan dibuang jauh-jauh kerana tidak kasihankan kita
apabila saban hari melihat kanak-kanak tidak berdosa menjadi mangsa kekejaman
Israel.
Serangan rejim Zionis hingga kini mengorbankan lebih 2,100 penduduk Palestin
yang kebanyakannya kanak-kanak dan orang awam yang tidak berdosa.
Selain mengalami kemusnahan harta benda, ramai anak kecil kehilangan ibu bapa
dan menjadi yatim piatu sekelip mata sementara berpuluh ribu terpaksa
meninggalkan kediaman masing-masing untuk mendapatkan perlindungan.
Sedih, marah dan geram apabila melihat anak kehilangan ibu bapa dalam sekelip
mata akibat bedilan regim Zionis yang saban hari menghujani semenanjung Gaza
dengan bom.
Sebagai umat Islam yang prihatin, marilah kita sama-sama memanjatkan doa ke
hadrat Ilahi supaya rakan seagama di Gaza selamat dan dijauhi segala bala
bencana. Ya Allah, Selamatkanlah saudara Muslimku di Gaza Peliharalah mereka
daripada segala bentuk kejahatan dan penindasan Tabahkanlah hati dan kuatkanlah
semangat mereka Dalam menghadapi hari-hari penuh berliku. Amin…
Post Views: 104