Logo
PERSATUAN PENGGUNA ISLAM MALAYSIA
70X, Jalan Keramat Hujung, 54000 Kuala Lumpur
Email : salam@ppim.org.my
Hotline : +6019-359 1000
Tel : +603-4257 7222 / +603-4256 6618
IKUTI KAMI DI :
2133) ARKIB BERITA PPIM – 22/9/2014 SINAR HARIAN ONLINE – Berkas Penjual Pil Gugur Kandungan
19 Oct 2014

SHAH ALAM – Kerajaan perlu mengambil tindakan segera terhadap individu yang bertindak berani menjual pil menggugurkan kandungan di laman sosial secara terbuka tanpa menghiraukan undang-undang.

Setiausaha Agung Persatuan Pengguna Islam Malaysia, Datuk Dr Ma’amor Osman berkata, jika dibiarkan, golongan tidak bertanggungjawab itu akan semakin berani bertindak tanpa mempedulikan kesan kepada masyarakat.

“Heret mereka ini ke muka pengadilan supaya tidak ada lagi yang berani untuk menjual sesuka hati ubat yang boleh mendatangkan mudarat kepada pengguna.


“Lagi pun sudah jelas bahawa pengguguran adalah salah di sisi undang-undang negara kita. Jadi untuk apa dibiarkan individu yang berani buat perkara yang berlawanan dengan undang-undang,” katanya semalam.

Kata beliau, menggugurkan kandungan tanpa sebab bukan sahaja salah di sisi undang-undang negara malah berdosa bagi orang Islam.

“Kalau diikutkan logiknya, golongan yang mahu gugur kandungan ini pastinya mereka yang terlanjur. Sudahlah berdosa kerana melakukan zina, mahu bertindak membunuh janin pula.
“Inilah masanya, pihak Kementerian Kesihatan, Suruhanjaya Komunikasi Multimedia Malaysia (SKMM) perlu bertindak mengesan individu yang terlibat serta melakukan rampasan kepada produk yang dijual tersebut,” ujarnya.

Dr Ma’amor turut menasihati peniaga supaya tidak mencari rezeki yang tidak halal.

“Memang kita tahu jika tidak ada permintaan, mereka tidak akan jual. Tetapi kenapa mahu berniaga untuk membantu orang melakukan dosa menggugurkan kandungan?,” katanya.

Semalam, Sinar Harian melaporkan mengenai lambakan penjualan ubat untuk menggugurkan janin yang diiklankan secara terbuka melalui laman sosial.

Ada antara iklan pil itu menyebut ia ‘khas untuk wanita hamil jarak dekat, terlanjur, belum berkahwin dan senang hamil’.

Paparan skrin mengenai salah satu akaun Facebook yang menjual pil itu turut tersebar di media sosial sejak beberapa hari lalu.

Susulan pendedahan itu, Ketua Pengarah Kementerian Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah mengesahkan penjualan ubat gugur kandungan masih dalam siasatan pihaknya.

Sumber : http://www.sinarharian.com.my/berkas-penjual-pil-gugur-kandungan-1.318763