Logo
PERSATUAN PENGGUNA ISLAM MALAYSIA
70X, Jalan Keramat Hujung, 54000 Kuala Lumpur
Email : salam@ppim.org.my
Hotline : +6019-359 1000
Tel : +603-4257 7222 / +603-4256 6618
IKUTI KAMI DI :
2176) ARKIB BERITA PPIM – 30/9/2014 THE BORNEO POST – Ambil Tindakan Segera Periksa Dan Tingkat Keselamatan Bank
25 Oct 2014

KUALA LUMPUR: Semua institusi kewangan di seluruh negara perlu mengambil tindakan segera memeriksa dan meningkatkan tahap keselamatan mesin juruwang automatik (ATM) dan kad ATM pengguna bagi mengekang kegiatan menggodam mesin berkenaan daripada berleluasa.
Setiausaha Agung Gabungan Persatuan Pengguna Malaysia (FOMCA) Datuk Paul Selva 
Raj berkata jika tindakan segera tidak diambil, bank bakal menghadapi implikasi teruk yang akan menghakis kepercayaan dan keyakinan pengguna untuk terus menyimpan wang di institusi berkenaan.
“Kes ini amat serius, yang telah mencetuskan kebimbangan ramai pihak kerana kebanyakan rakyat Malaysia kini adalah pengguna bank.
“Semua bank perlu memberi perhatian serius terhadap kes ini dan mengambil tindakan segera untuk memeriksa sistem keselamatan masing-masing kerana kita bimbang kes ini akan berlaku pada bank lain pula,” katanya kepada Bernama di sini semalam.
Sabtu lalu, satu sindiket dipercayai dari Amerika Latin melarikan RM1.271 juta daripada mesin ATM milik Affin Bank Berhad dan Affin Islamic Bank Berhad di Johor, Melaka dan Selangor dipercayai menggunakan kad sim telefon dan peralatan canggih.
Jenayah mencuri wang melalui pengklonan kad ATM pernah berlaku sebelum ini di negara 
ini.
Pensyarah Ekonomi Universiti Malaysia Sarawak, Prof Dr Shazali Abu Mansor pula berkata tiada kompromi dalam isu keselamatan bank kerana ia bukan sahaja menjejas keyakinan 
pengguna, namun turut menyumbang kepada penyusutan daya saing ekonomi negara.
Tegasnya, bank merupakan institusi penting yang mempamer imej positif kepada negara terutama dalam menarik pelancong dan pelabur asing ke negara ini.
“Dari sudut psikologinya, faktor keselamatan akan mempengaruhi pemikiran dan keputusan, jika bank tidak ada jaminan keselamatan, bagaimana pengguna, pelancong asing dan pelabur mahu menggunakan bank atau masuk ke negara ini,” soalnya.
Sehubungan itu, beliau mencadangkan bank di negara ini meneliti semula sistem keselamatan bank masing-masing dan menukarnya kepada satu sistem yang lebih canggih, selari dengan kecanggihan teknologi semasa.
“Mungkin juga bank perlu menukar sistem atau kod keselamatannya setiap beberapa tahun sekali, kerana sistem atau kod yang bertukar akan menyukarkan penjenayah.
“Apa yang penting, keselamatan adalah isu berterusan, untuk mengekalkannya, bank perlu melakukan pelaburan kerana keselamatan yang terjamin akan membawa keuntungan kepada bank itu sendiri apabila lebih ramai pelanggan yakin untuk terus menggunakan perkhidmatan bank tersebut,” katanya.
Setiausaha Agung Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM) Datuk Dr Maa’mor Osman berpendapat penggunaan cara konvensional iaitu menyimpan dan mengeluarkan wang melalui kaunter bank perlu dikekalkan kerana ia dilihat lebih selamat berbanding menggunakan mesin ATM.
“Di zaman serba canggih kini, bank akan menggalakkan pengguna menggunakan sistem yang cepat dan mudah seperti di mesin ATM dan internet, namun bank perlu lebih terbuka dan tidak memaksa sekiranya pengguna mahu terus menggunakan cara konvensional kerana ia mungkin lebih selamat dan kurang berisiko,” katanya.
Ahli Lembaga Pengamanah Pusat Khidmat Aduan Pengguna Nasional (NCCC), Muhammad Sha’ani Abdullah berkata tindakan perlu diambil kepada bank terbabit agar ia dijadikan pengajaran kepada bank-bank lain.
“Pihak bank perlu lebih bertanggungjawab kerana kes ini melibatkan banyak pihak terutamanya pengguna, dan bank tidak sepatutnya memberi alasan (jika berlaku kecuaian di pihak mereka),” katanya.
Sementara itu, Presiden Penasihat Pengguna-Pengguna Malaysia (PPPM), M.Varatharajoo mencadangkan supaya polis membuat pemantauan 24 jam di semua bank dan mesin ATM di negara ini terutama di kawasan berisiko tinggi.
“Pihak bank juga perlu bertanggungjawab terhadap perkara ini, jangan bila sudah berlaku kes sebegini mereka cuma mengharapkan pihak polis semata-mata tanpa perlu ada rasa bertanggungjawab.
“Bagi pengguna pula, mereka harus lebih berhati-hati dan peka terhadap persekitaran terutamanya apabila membuat urusan di bank dan mesin ATM,” katanya. — Bernama
Sumber : http://www.theborneopost.com/2014/09/30/ambil-tindakan-segera-periksa-dan-tingkat-keselamatan-bank/