2256) BERNAMA – 17/12/2014 – Ketua Aktivis PPIM Dilepas Dan Dibebas Dari Tuduhan Cedera Warga Perancis
17 Dec 2014
KUALA LUMPUR, 16 Dis (Bernama) — Ketua aktivis Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM), Datuk Nadzim Johan dan seorang ahli persatuan itu dilepas dan dibebaskan oleh Mahkamah Majistret di sini hari ini tanpa dipanggil membela diri atas tuduhan mencederakan seorang lelaki warga Perancis, Mac lepas.
Majistret Nur Azura Murah membuat keputusan itu selepas mendapati pihak pendakwaan gagal membuktikan kes prima facie serta tiada bukti konklusif di akhir kes pendakwaan terhadap Nadzim, 54, dan Tengku Faedzah Raja Fuad, 32.
Nadzim dan Tengku Faedzah didakwa bersama-sama mencederakan Adam Mikail, 43, di Tingkat 3 Kondominium Villa Puteri, Jalan Tun Ismail, di sini, pada pukul 12 tengah hari, 28 Mac lepas.
Sebelum ini mahkamah mendengar keterangan enam orang saksi pendakwaan dan hujahan kedua-dua pihak.
Dalam keputusannya, Nur Azura berkata keterangan mangsa tidak disokong oleh mana-mana dokumen dan imej daripada rakaman kamera litar tertutup yang tidak jelas dan kabur juga tidak menunjukkan mangsa dicederakan oleh Nadzim atau Tengku Faedzah.
“Mahkamah juga berpuas hati dengan keterangan oleh pegawai perubatan dan pakar tulang yang berpendapat kecederaan di kaki mangsa yang didakwa kerana ditendang oleh Nadzim merupakan kecederaan lama.
“Selain itu kesakitan di bahagian tulang belakang mangsa yang didakwa kerana dipukul oleh Tengku Faedzah adalah kerana faktor usia iaitu degenerasi tulang belakang akibat proses penuaan,” katanya.
Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya, S Ravindran sementara kedua-dua tertuduh diwakili peguam Ahmad Zaidi Zainal.
— BERNAMA
Post Views: 119