2264) ARKIB BERITA PPIM – 20/11/2014 – RAKYATNEWS – PPIM, PAS Terus Bantah Caj Arak MAS
21 Dec 2014
KOTA BHARU 22 Nov – Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM) Negeri Kelantan dan Selangor sokong cadangan boikot syarikat penerbangan MAS jika caj penjualan arak yang dikenakan dalam tiket pesawat masih diteruskan.
Ketua Aktivisnya, Datuk Dr Mohd Fared Abdul Ghani berkata, tindakan yang dicadangkan Pemuda Pas Kelantan patut dipandang serius.
Menurutnya, MAS perlu mengambil tindakan drastik setelah menerima desakan banyak pihak, terutama badan-badan bukan kerajaan (NGO) yang memperjuangkan hak pengguna Islam.
“Boikot itu wajib kerana dunia sedia maklum Malaysia adalah negara Islam.
“MAS perlu menyedari hakikat ini dan menghentikan caj itu,” katanya.
Katanya, MAS perlu bawa imej negara Islam sebaik mungkin, di samping mencari keberkatan dalam perniagaannya.
Kelmarin, Pemuda Pas menerusi ketuanya, Ahmad Fadhli Shaari menegaskan, ia tidak akan teragak-agak merancang mengambil tindakan lebih tegas, termasuk kempen boikot MAS jika ia tidak menghentikan serta-merta caj penjualan arak yang dikenakan dalam tiket pesawat.
Sementara itu Pemuda Pas Pahang turut bersetuju dengan tindakan Pemuda Pas Kelantan dan akan bertindak hantar memorandum sama.
Ketua Pemuda Pas Pahang, Nazri Ahmad berkata ia membuktikan kerajaan tidak peka dengan sensitiviti agama.
“Isu ini sudah mendapat perhatian Menteri di Parlimen dan sebagai rakyat kita semua terkejut apabila selama ini turut menyumbang ke arah hidangan arak tersebut setiap kali menaiki kapal terbang MAS,”katanya.
Post Views: 143