Logo
PERSATUAN PENGGUNA ISLAM MALAYSIA
70X, Jalan Keramat Hujung, 54000 Kuala Lumpur
Email : salam@ppim.org.my
Hotline : +6019-359 1000
Tel : +603-4257 7222 / +603-4256 6618
IKUTI KAMI DI :
2291) BERNAMA – 23/12/2014 – Rakyat Malaysia Kurang Prihatin Dengan Mangsa Banjir Di Negara Sendiri
27 Dec 2014

KUALA LUMPUR, 22 Dis (Bernama) — Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM) kesal dengan sikap segelintir rakyat Malaysia yang tidak prihatin dengan kesengsaraan yang ditanggung mangsa banjir di Pahang, Kelantan, Johor dan Kedah sekarang.

Pengarah Projek PPIM Noor Nirwandy Mat Nordin berkata tinjauan persatuan mendapati sebahagian rakyat negara ini lebih bersedia membantu mangsa malapetaka di luar negara, contohnya banjir yang melanda Bangladesh baru-baru ini.

Katanya sumbangan yang diterima oleh rakyat luar jauh lebih banyak berbanding rakyat Malaysia

“Mereka menganggap mangsa banjir di negara sendiri ada bantuan daripada kerajaan jadi tidak perlu bagi apa-apa. Kita mesti mengutamakan negara sendiri jika sumbangan terlalu banyak baru kita agih kepada orang lain,” katanya kepada pemberita di majlis pemberian sumbangan kepada mangsa banjir secara berkonvoi di ibu pejabat PPIM di sini hari ini.

Dalam pada itu, PPIM bersama SCS Komunikasi yang diketuai oleh Pengarah Pentadbiran SCS Komunikasi Mohd Nazli Yusoff menghantar bantuan kepada mangsa banjir yang bernilai RM100,000.

“Bantuan ini meliputi bot, enjin, jaket keselamatan, barang keperluan seperti selimut, lampin pakai buang dan makanan. Skuad bencana alam ini berkonvoi dengan 30 buah kenderaan pacuan empat roda dan satu lori ke Jerantut, Pahang untuk mengagihkan bantuan tersebut,” katanya.

Konvoi ini mula berkumpul di ibu pejabat PPIM sejak pukul 9 pagi dan bertolak pukul 10.20 pagi.

Konvoi ini dilepaskan oleh Setiausaha PPIM Datuk Nadzim Johan dan turut diiringi oleh enam buah motosikal dari unit trafik PDRM. Mereka dijangka sampai lewat petang ini.

“Bantuan akan diserahkan kepada Exco Kerajaan Negeri Pahang Datuk Dr Ahmad Shukri Ismail petang ini,” kata Noor Nirwandy.

Dalam pada itu, Skuad Bencana Alam menerusi kerjasama Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna ini turut turun padang dalam usaha mengawal kenaikan harga barang.

Oleh yang demikian skuad ini akan mengambil tindakan sekiranya ada aduan daripada pengguna. Pengguna boleh menghubungi hotline PPIM 0193591000 @ 034256618 dan melayari laman web PPIM di www.muslimconsumer.net.org atau laman web SCS Komunikasi di www.scs.net.my.

— BERNAMA