Aktivis PPIM, sukarelawan dan sekretariat misi Bantuan Mangsa Banjir (BMB) Yayasan Muamalat Belia dan Ahli Parlimen Setiawangsa telah berkumpul di Masjid Abu Ubaidah Al-Jarrah, Taman Sri Rampai, Setapak sejak jam 10.00 pagi untuk mengumpul barang-barang yang akan disumbangkan kepada mangsa-mangsa banjir di Jerantut, Pahang.
Selepas solat Zuhur berjemaah, pihak Masjid Abu Ubaidah Al-Jarrah telah mengadakan solat hajat. Ini bagi meminta agar bencana yang menimpa negara pada masa ini tamat dengan segera. Orang ramai terus menyumbang pelbagai barangan untuk dihantar kepada mangsa.
Selepas solat Asar, Adun Pulau Tawar YB Dato’ Ahmad Syukri Ismail tiba dari Jerantut bagi mengiringi bantuan ke pusat penempatan mangsa banjir di Jerantut. Tambah beliau lagi, beliau mengambil masa lebih dari 8 jam untuk tiba memandangkan jalan-jalan utama telah ditutup. Beliau sendiri sanggup datang bagi menjadi pemandu arah untuk memudahkan perjalanan ke Jerantut melalui jalan-jalan kampung supaya bantuan dapat tiba kepada mangsa banjir dengan kadar segera.
Beliau dan ahli Parlimen Setiawangsa, YB Dato’ Ahmad Fauzi Zahari bersama-sama para sukarelawan telah memunggah barang-barang sumbangan ke dalam lori. Usahasama ini juga mendapat sokongan penuh daripada Ketua Penyelaras Sekretariat Misi Bantuan Mangsa Banjir (BMB) , Ybhg. Dato’ Noor Azman Idris dari Yayasan Muamalat Belia yang juga merupakan penasihat PPIM, mereka semua bertungkus lumus membantu para sukarelawan dan AJK Masjid Abu Ubaidah Al-Jarrah, Taman Sri Rampai merealisasikan misi bantuan tersebut. Konvoi bantuan dilepaskan oleh YB Dato’ Ahmad Fauzi pada jam 6.00 petang dan terus bertolak ke Jerantut, Pahang.
Semoga mereka selamat sampai dan dipermudahkan segala urusan.